Suzuki Grand Vitara, Splash & Alto bakal ditamatkan produksi
Menurut laporan terbaharu yang bertebaran dalam industri automotif global, Suzuki UK sudah mengesahkan akan menamatkan produksi bagi tiga modelnya iaitu Grand Vitara, Splash dan Alto tidak lama lagi.
Walau bagaimana pun, Suzuki dikatakan bakal memperkenalkan model crossover kompak terbaharu di Paris Motor Show 2014 yang bakal berlangsung pada awal Oktober ini. Namun saiz model tersebut lebih kecil berbanding dengan Vitara dan ia bukanlah pengganti SUV berkenaan. Malah syarikat berkenaan juga tidak mempunyai perancangan untuk menggantikan model SUV tersebut dan ini bermakna SX4 S-Cross akan kekal sebagai model terbesar bagi Suzuki.
Begitu juga dengan Alto yang mungkin akan dihentikan produksinya pada musim bunga akan datang, iaitu pada masa model baharu Suzuki Celerio dilancarkan di pasaran. Celerio akan diproduksikan di Thailand dan memiliki saiz yang lebih besar sedikit berbanding Alto dan lebih kecil daripada Splash.
Suzuki juga berkata, model Celerio akan ditawarkan dengan pilihan kotak gear manual dan bakal dipasarkan di UK pada tahun 2015 dengan harga jangkaan £8,000.