Peugeot 208 HYbrid Air 2L bakal gegarkan Paris Motor Show 2014
Tidak mahu ketinggalan bagi memeriahkan pentas Paris Motor Show 2014 yang akan berlangsung bermula 2 Oktober ini, Peugeot turut mengumumkan bakal mempertontonkan model konsepnya, 208 HYbrid Air 2L. Tahun lalu, Peugeot juga telah mempamerkan model konsep original 208 HYbrid FE di Geneva Motor Show.
Namun bagi 208 HYbrid Air 2L yang diilham berdasarkan model 208 tiga-pintu tetapi tampil dengan beberapa perubahan elemen yang lebih menarik.
Jika model inspirasinya memiliki berat 960kg, untuk model konsepnya pula telah mengalami penurunan ‘berat badan’yang agak ketara iaitu hanya 860kg. Ini bermakna 100kg telah ‘dighaibkan’ disebabkan penggunaan material aluminium dan karbon.
Jika model standard dilengkapi dengan enjin 1.2 liter tiga-silinder Puretech 82 gasolin dan kotak gear manual lima-kelajuan, namun bagi model konsep ini pula memilih penjana kuasa hibrid yang bakal berpadu tenaga dengan petrol dan udara mampat. Ia merangkumi tangki udara termampat yang diletakkan di bawah bonet kereta, tangki bertekanan rendah berhampiran gandar belakang (yang bertindak sebagai ruang pengembangan) dan sistem hidraulik dengan motor dan pam pada enjin.
Peugeot berkata,segala usaha telah dilakukan bago menepati kriteria yang telah ditetapkan oleh kerajaan Perancis bagi memproduksi kenderaan yang mampu memberikan penjimatan bahan api yang lebih efisien iaitu sekitar 2 liter/100km. Malah ia juga merupakan model pertama yang bakal menggunakan sistem HYbrid Air untuk 2008 generasi kedua yang bakal diperkenalkan pada tahun 2016 ini.