Ford C-MAX 2015 menanti detik…
Ford tidak lekang dengan model baharu yang ingin diperkenalkan di dalam pasaran automotif global. Terkini, Ford mendedahkan pula model Ford C-MAX versi 2015 dengan dua varian iaitu C-MAX dan Grand C-MAX.
Kedua-duanya ditampilkan dengan rekaan hadapan fascia ibarat jentera mewah Aston Martin, kehadiran gril dan lampu utama yang turut dihiasi lampu pencahayaan siang (DRL) LED melengkapkan gaya elegan model ini.
Pada bahagian belakangnya, Ford memilih rekaan yang lebih ringkas dan kemas dengan penampilan lampu belakang yang sedikit kecil serta bampar yang lebih nipis. Manakala rim aloi lima-jejari turut menambahkan lagi gaya kedua-dua model ini.
Untuk bahagian kabinnya pula, seperti mana model-modelnya yang lain, Ford turut menampilkan sistem hiburan SNYC 2 tetapi yang telah dipertingkatkan hasil daripada model facelift Focus. Ia turut ditampilkan dengan skrin sesentuh bersaiz lapan inci dengan susunan butang kawalan pada papan pemuka yang telah diperkemaskan lagi.
Menurut Ford, material yang digunakan untuk hiasan kabin telah dipertingkatkan. Malah untuk model ini juga telah diberi roda stereng yang memiliki sentuhan berhaba panas. Kaca bersaiz nipis juga dipadankan melingkari cermin sisi bagi mengurangkan NVH daripada menyerapi bahagian kabin. Malah Ford turut mengurangkan bunyi bising enjin dengan kehadiran pelindung kepanasan pada engine bay yang turut ditampilkan dengan material penyerap akustik.
Berkenaan dengan penjana kuasanya pula, model C-MAX dan Grand C-MAX 2015 bakal didatangkan dengan enjin 1.5 liter TDCi (120 PS) dan 2.0 liter TDCi (140 PS & 163 PS).Bukan itu sahaja, Ford turut menampilkan lagi varian enjin untuk model ini iaitu 1.0 liter EcoBoost (100 PS & 125 PS) dan 1.5 liter EcoBoost (150 PS & 180 PS).
Selain menerima padanan enjin baharu, kedua-dua model ini juga menerima sistem suspensi dan stereng dengan teknologi Ford MyKey yang membolehkan pemiliknya untuk memprogramkan sekatan kelajuan tertinggi, memperlahankan bunyi sistem audio dan beberapa pilihan lain pada kunci.
Bukan itu sahaja, Ford turut memberikan pilihan kepada pemiliknya untuk memilih lampu utama bi-xenon HID dengan sistem Pencahayaan Hadapan Adaptif, Brek Aktif, Perpendicular Parking, Cross Traffic Alert, Active City Stop dan banyak lagi.
Ford C-MAX and Grand C-MAX 2015 versi facelift ini akan dipertontonkan secara perdana di Paris Motor Show 2014 awal bulan hadapan.
Ford C-MAX
Ford Grand C-MAX