Citroen C4 Cactus AIRFLOW 2L tampil futuristik – Mampu capai 2L/100km
Sudah bersiap sedia ke Paris Motor Show 2014, model konsep Citroen C4 Cactus AIRFLOW 2L yang dicipta berdasarkan C4 Cactus ini memiliki keistimewaan daripada segi penjimatan bahan api dan pengurangan pelepasan CO2.
Dipadankan dengan bampar hadapan baharu yang turut dilengkapi dengan tiga corong udara yang akan terbuka secara automatik untuk menyejukkan enjin dan juga akan tertutup untuk menambahkan kuasa aerodinamik. Model konsep ini juga menerima padanan spoiler belakang yang lebih besar dan juga rim aloi bersaiz 19 inci dengan tayar rintangan putaran rendah.
Cermin sisinya juga digantikan dengan kamera pandang belakang yang lebih langsing untuk mengurangkan daya seretan. Bukan itu sahaja, Citroen C4 Cactus AIRFLOW 2L telah dimodifikasi untuk meningkatkan lagi daya aerodinamiknya sebanyak 20 peratus berbanding dengan model produksi.
Selain daripada ciri aerodinamik, barisan juruteranya juga menggunakan material yang lebih ringan termasuk aluminium, besi berkualiti tinggi dan bahan komposit lain. Perubahan ini membolehkan model konsep ini mencapai berat kurang 100kg berbanding dengan model standard.
Kuasanya pula disalurkan oleh penjana kuasa Hybrid Air yang terdiri daripada enjin petrol PureTech tiga-silinder, unit storan pemampatan kuasa udara, pam/motor hidraulik dan transmisi automatik dengan epicyclic gear. Sistem operasinya juga didatangkan dengan tiga model berlainan termasuk udara sahaja, enjin petrol dan kombinasi kedua-duanya.
Nampak gayanya penjana kuasa futuristik yang digunakan ini membuatkan model konsep Citroen C4 Cactus AIRFLOW 2L hanya menggunakan 2 liter bahan api untuk setiap 100km.