IIMS 2014 : Model konsep Daihatsu UFC-3 turut dipertontonkan
Wakil Paultan.org, Danny Tan, kini berada di Jakarta, membawakan liputan Indonesia International Motor Show 2014 (IIMS) dan berkongsi cerita dengan InfoKereta.com. Semalam Daihatsu turut mengambil kesempatan untuk mempertontonkan model konsep Daihatsu UFC-3, MPV bersaiz sederhana yang lebih kurang sama besar dengan Perodua Alza. UFC bermaksud ‘Ultra Function Compact’ dan model konsep pertamanya telah diperkenalkan pada tahun 2012.
Daihatsu UFC-3 dibangunkan mengikut platform model konsep UFC-2 yang pernah dipertontonkan di dalam pameran automotif yang sama pada tahun lalu. Berbanding dengan UFC-2, model konsep ketiga ini kelihatan lebih menyerlah tetapi kurang eksprementasi.
Imej luaran yang dipertaruhkan oleh UFC-3 ini nampak lebih menyerlah biar pun dengan rekaan yang sedikit ringkas. Manakala pada bahagian kabinnya pula, tombol gearnya terletak pada konsol tengah, seperti mana yang sering ditampilkan pada model Perodua. Sementara unit kepalanya pula tampil lebih futuristik seperti mempunyai efek ‘terapung’.
Mengikut sumber, kemungkinan besar UFC-3 adalah petanda Daihatsu bakal ‘melahirkan’ adik kepada model Xenia yang seperti sedia maklum ia merupakan rebadged bagi model Toyota Avanza. Buat setakat ini Xenia telah mengungguli pasaran bagi MPV segmen rendah dengan pesaingnya seperti Suzuki Ertiga, Chevrolet Spin dan terbaharu, Honda Mobilio.
Jika benar Daihatsi bakal mengeluarkan MPV dengan harga yang lebih murah berbanding Xenia, maka UFC boleh dikategorikan sebagai Low Cost Green Car (LCGC) budget-MPV seperti mana persaingnya Datsun GO+ Panca yang dilancarkan awal tahun ini dan dijual pada harga 85 million Rupiah (RM23,885).
Dan adakah Perodua akan menjadikan UFC ini sebagai ‘sumber inspirasi’ bagi generasi baharu bagi Perodua Alza? Tunggu dan lihat!