COMOS bersedia dilancarkan bulan hadapan
Program Perkongsian Kenderaan Elektrik (EV) atau Cohesive Mobility Solution (COMOS) sudah bersedia untuk memulakan perkhidmatannya tidak lama lagi. Ia dijangka bakal dilancarkan pada Oktober ini oleh Perdana Menteri, YB Datuk Seri Najib Tun Razak. Lokasi pelancarannya dijangkakan di stesen LRT Bangsar.
Program usaha sama awam-swasta antara CMS Consortium, Institut Automotif Malaysia (MAI) dan Malaysian Green Technology Corp ini berazam mahu menjadikan COMOS sebagai perkhidmatan E-mobiliti lengkap dengan menyepadukan pelbagai bahagian ekosistem EV dan rangkaian nilai, termasuk penyediaan stesen pengecas EV, kumpulan operator EV, operator pengurusan parkir dan operator rangkaian telekomunikasi.
Menurut Pengerusi Eksekutif COMOS, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamad Tahir, program ini akan memulakan operasinya dengan menyediakan 30 hingga 50 unit EV yang boleh disewa di kawasan tumpuan terpilih.
Buat permulaan, COMOS akan beroperasi di sekitar bandaraya Kuala Lumpur terlebih dahulu, sebelum ke destinasi lain seperti Pulau Langkawi (Disember 2014), Pulau Pinang (2016), Putrajaya, Melaka (2015) dan Johor Bahru (2016).
Manakala antara model EV yang terpilih menyertai COMOS ialah Renault Zoe, Renault Twizy, dan Nissan Leaf.
Untuk menyewa EV ini, pengguna hanya perlu mendaftarkan diri melalui aplikasi di telefon bimbit atau laman web untuk menempah EV termasuk menyatakan lokasi pengambilannya. Kemudian pengguna akan mengambilnya di lokasi berkenaan dan mula memandu EV di destinasi yang bersesuaian.
Untuk memulangkan semula EV ini, pengguna hanya perlu pergi ke stesen pengecas yang terpilih, sentuhkan kad COMOS pada kios utama dan menandakan EV tersebut dikembalikan secara automatik. Proses pembayarannya akan dilakukan menerusi perkhidamatan dalam talian dan pengguna akan menerima SMS pengesahan selepas transaksi pembayaran selesai.
Untuk fasa pertama ini iaitu operasi di Lembah Klang, sebanyak 60 stesen pengecas telah dikenalpasti. Antaranya ialah di Jalan Medan Tuanku 1, Lorong Bunus 1, Lorong P.Ramlee, LRT Ampang Park, LRT Pasar Seni dan LRT Bangsar. Antara 15 lokasi terbabit telah menerima kerjasama sepenuhnya dari PRASARANA dan DBKL.
Perkhidmatan COMOS ini dikenakan bayaran tentatif sebanyak RM300 (untuk sewa tahunan), RM50 (sewa bulanan) dan antara RM20 hingga RM25 sewaan mengikut jam penggunaan.
Syed Zainal turut menambah, bayaran menyewa EV ini adalah sangat berpatutan dan menjimatkan. Ia bukan sahaja dapat mengurangkan kos bahan api, namun juga sangat menyokong penggunaan pengangkutan awam serta yang pastinya mampu memelihara alam sekitar.
Dalam sidang akhbar yang diadakan petang tadi, selain menerangkan lebih lanjut mengenai COMOS termasuk mengumumkan pelancarannya, ia juga diadakan sekali sesi tandatangan perjanjian kerjasama antara COMOS dengan Celcom Axiata Berhad, Petronas dan UTM. Di mana ketiga-tiga organisasi terbabit bersetuju untuk memperluaskan penjenamaan bersama bagi mempromosikan lagi perkhidmatan COMOS ini.
Sebagai promosi awal, COMOS turut menganjurkan satu karnival berskala kecil bagi mempromosikan lagi perkhidmatan ini di perkarangan The Curve bermula hari ini sehingga Ahad 21 September 2014. Di mana ia memberi peluang kepada orang ramai untuk menyaksikan sendiri barisan EV yang terlibat, sekali gus mengetahui lebih lanjut mengenai perkhidmatan yang disediakan serta penggunaan EV.
Malah orang ramai juga boleh mendaftar terus dengan COMOS untuk menggunakan perkhidmatan ini di masa akan datang. Bukan itu sahaja, untuk 100 ahli terpilih, COMOS akan memberikan perkhidmatan secara percuma selama sebulan untuk mereka menggunakan EV ini dan testimoni akan diambil selepas tamat tempoh tersebut bagi tujuan promosi.
Inisiatif COMOS ini diilhamkan berdasarkan perkhidmatan yang lebih kurang sama yang banyak diaplikasikan di negara luar seperti di Jerman, Denmark, Sweden, Itali, USA dan China. Malah COMOS turut merancang untuk membawakan perkhidmatan ini ke luar negara iaitu di Phuket, Thailand dan Bali, Indonesia pada masa yang akan datang.