Honda Odyssey generasi kelima kini di Malaysia – dua varian pada harga bermula RM228,000
Merancakkan lagi pasaran kenderaan pelbagai guna (MPV) di Malaysia, kehadiran Honda Odyssey generasi kelima ke negara ini boleh dikatakan tepat pada masanya. Ia dilancarkan di KLIMS13 pada 14 November lalu, hanya dua minggu selepas berada di pasaran negara matahari terbit. Didatangkan dengan dua varian iaitu EXV spesifikasi penuh dan EX bagi model gred standard.
Dengan bentuk kerangka serba baharu dan dibina menggunakan platform yang berlainan daripada model sebelumnya, Odyssey ini turut tampil bergaya seperti mana model lain bagi MPV terbaharu di pasaran. Malah harga yang ditawarkan begitu kompetitif iaitu RM228,000 untuk EX dan EXV pula berharga RM248,000.
Malah Honda turut memberikan jaminan bahawa Odyssey ini mampu memberikan pengalaman pemanduan dinamik, seperti memandu sebuah kereta biasa. Apatah lagi konfigurasi bagi power train telah dipertingkatkan berbanding model sebelumnya. Ia turut menawarkan kuasa yang lebih maksimum dengan tujahan tork yang memberangsangkan.
Berkongsi teknologi enjin yang sama dengan Honda Accord 2.4 dan CR-V 2.4, iaitu enjin Earth Dreams berkapasiti 2.4 liter empat silinder DOHC I-VTEC. Kedua-dua varian ini juga mampu menghamburkan kuasa maksimum 129kW pada 6,200rpm dan tujahan tork sehingga 225NM pada 4,000rpm. Bagi memantapkan lagi prestasinya, Odyssey ini turut dipadankan dengan kotak gear CVT yang memberi kelancaran dalam pertukaran gear secara automatik.
Bukan itu sahaja, ia juga dikatakan mampu memberikan penjimatan bahan api yang efisien. Malah turut dipadankan dengan mod ECON iaitu apabila butang ini ditekan, ia menawarkan penjimatan bahan api yang mengagumkan dan dalam masa yang sama kenderaan masih mampu dipacu lancar.
Odyssey serba baharu ini telah dibangunkan dengan Ultra-Low Floor Platform di mana ia direka dengan ruang kabin yang lebih luas, sama seperti sebuah MPV kelas mewah. Dengan bumbung yang agak tinggi dan lantai yang rendah membuatkan kabinnya mempunyai lebih banyak ruang. Platform baharu ini juga mampu memberikan kestabilan di dalam pengendalian dan daya pacuan yang lebih memuaskan
Dengan dimensi 4,830 mm panjang, 1,800 mm lebar (tambahan 20 mm buat EXV), Odyssey ini memiliki ketinggian 1,695 mm dan jarak roda pula 2.900 mm. Manakala beratnya pula 1,820 kg bagi EX dan EXV pula 1,855 kg.
Kedua-dua varian turut dipadankan dengan elemen standard seperti kawalan kelajuan, pedal penukar gear, sistem audio enam pembesar suara dengan skrin paparan sentuh elektrostatik bersaiz tujuh inci, lampu pencahayaan siang (DRL) LED dan kerusi tunggal di barisan kedua dengan panel peletak kaki yang mempunyai ruang laluan di antara kerusi di sebelahnya dan juga barisan ketiga. Suis kawalan penghawa dingin bagi penumpang di barisan kedua dan ketiga turut diletakkan di bahagian tengah bagi memudahkan para penumpang mengendalikannya sendiri.
Ruang yang luas dan mampu memuatkan tujuh orang dalam satu masa membuatkan Odyssey ini cukup mengoptimakan kepuasan. Konfigurasi tempat duduk di barisan kedua dan ketiga juga sangat praktikal, boleh dilipat dengan pelbagai cara bagi mendapatkan lebih ruang. Bukan itu sahaja, bagi memudahkan penumpang masuk dan keluar, Odyssey ini juga buat pertama kalinya dipadankan dengan pintu luncur di bahagian kiri dan kanan.
Disebabkan EXV merupakan spesifikasi penuh yang dikatakan menyamai model Odyssey Absolute untuk pasaran Jepun, maka sudah tentu varian ini menawarkan lebih banyak elemen menarik. Antaranya bampar aero untuk bahagian depan dan belakang, lampu kabus, lampu utama LED automatik, tempat duduknya dibaluti dengan material kulit berkualiti tinggi dengan sentuhan yang tampak mewah, bumbung suria hadapan, sistem kemasukan pintar, butang penghidup enjin dan kit badan yang tampil sedikit berbeza dari EX.
Walau pun ia sebuah MPV dan bersaiz agak besar, namun Honda mendakwa pengendaliannya tidaklah sesukar mana. Jejari pusingannya berskala 5.4 meter dan sangat memudahkan pemandu untuk membuat pusingan U. Malah kedudukan tiang kerangkanya juga telah diperbaharui dengan menambah lebih banyak permukaan cermin bagi meningkatkan daya penglihatan.
Tidak lengkap sekiranya sebuah model kenderaan terbaharu tidak ditampilkan dengan ciri-ciri keselematan yang sangat diperlukan. Lantas Honda turut mempertingkatkan ciri-ciri keselamatan untuk Odyssey iaitu dengan adanya struktur kerangka Advanced Compatibility Engineering (ACE) yang menawarkan pelindungan buat penumpang dan mengurangkan risiko kerosakan pada pemandu lain. Malah Odyssey ini turut dilengkapi dengan enam beg udara, beg udara I-SRS berkembar di bahagian hadapan dan beg udara i-SRS di bahagian tepi untuk barisan pertama. Malah MPV ini turut dipadankan dengan G-Force Control (G-CON).
Memperhebatkan lagi ciri-ciri keselamatannya, varian EXV turut tampil dengan sistem Informasi Titik Buta, Monitor Lintasan Trafik (CTA), sistem Bantuan Parkir Pintar dan kamera dengan paparan yang lebih luas. Dan elemen standard bagi kedua-dua varian pula pastinya dengan VSA, ABS, EBD, Bantuan Brek (BA), Hill Start Assist dan Isofix.
Odyssey ini terdapat dalam empat pilihan warna iaitu White Orchid Pearl, Super Platinum Metallic, Crystal Black Pearl dan Glamorous Mauve Pearl. Diimport sepenuhnya dari Jepun, pembelian Odyssey ini turut didatangkan dengan lima tahun jaminan dengan jumlah perbatuan tidak terhad.
Spesifikasi :
Enjin : 2.4 liter enjin teknologi Earth Dream, DOHC I-VTEC, 4-silinder
Transmisi : CVT
Kuasa maksimum : 129kW @ 6,200rpm
Tork maksimum : 225Nm @ 4,000rpm
Sistem suspensi : MacPherson Strut (hadapan)/Torsion beam (belakang)
Tayar : 215/55R 17
Kapasiti tangki bahan api : 55 liter
1 Comment