Lamborghini Huracan kencang macam taufan!
Sesuai dengan namanya, Huracan atau pun bermaksud ‘hurricane’ diimplementasikan pada nama jentera baharu Lamborghini ini. Selain bermaksud ‘taufan’, Huracan juga merupakan nama seekor lembu jantan dari spesies Spanish Conte de la Patilla yang terkenal dengan sifatnya yang suka bertarung.
Menggantikan model Gallardo selepas diproduksi dalam dua generasi, Lamborghini Huracan ini bakal diperkenalkan di Geneva Motorshow 2014 dan dipamerkan dalam lebih 130 acara persendirian di 60 buah bandar besar di seluruh dunia.
Dijanakan oleh enjin 5.2 liter V10, jentera ini mampu memuntahkan kuasa maksimum sehingga 610hp pada 8,250rpm dan puncak tork 560Nm pada 6,500rpm, Huracan turut dipadankan dengan kotak gear klac berkembar Lamborghini Doppia Frizione (LDF) tujuh kelajuan dengan kawalan sistem pacuan empat roda. Huracan turut dilengkapi dengan sistem pancitan terus bahan api Iniezione Diretta Stratificata atau IDS.
Namanya pasti sekencang kuasanya, Huracan ini mampu dipacu daripada titik sifar sehingga 100km/j dalam hanya 3.2 saat dan jentera ini juga boleh mencapai kelajuan 200km/j dalam 9.9 saat! Manakala kelajuan maksimum yang mampu dicatatkan ialah 325km/j. Kerangkanya yang gagah dan mantap ini hanya seberat 1,422kg.
Huracan tampil dengan tiga mod pemanduan iaitu Strada, Sport dan Corsa, di mana mod ini boleh dipilih dengan menekan butang pada roda stereng. Mod pemanduan ini mempengaruhi tindakan enjin dan kotak gear, bunyi, sistem pacuan empat roda serta sistem kawalan kestabilan elektronik.
Sebagai pilihan, Huracan turut menawarkan sistem perubahan nisbah stereng yang dipanggil Lamborghini Dynamic Steering dan kawalan peredam suspensi magneto-rheologic.
Untuk rekaan dalaman kabin, elemen kemewahan menguasai segenap ruang dengan kekemasan material kulit Fine Nappa dan Alcantara. Malah ia turut dilengkapi dengan panel instrumen TFT berwarna bersaiz 12.3 inci yang memaparkan maklumat mengenai kenderaan bagi memberikan informasi kepada pemandu, termasuklah catatan kelajuan, navigasi dan fungsi infotainmen.