Perodua Axia sudah mencecah 20,000 unit tempahan
Perodua Axia telah menerima 20,000 unit tempahan sejak ia dibuka pada 15 Ogos lepas dan ekoran daripada sambutan yang begitu menggalakkan ini membuatkan penghantarannya dijangka sedikit lewat berbanding yang pernah dinyatakan sebelum ini.
Menurut Presiden dan CEO Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh, pihaknya sangat terharu dengan sambutan yang ditunjukkan oleh orang ramai ini. Namun pihak Perodua akan cuba sebaik mungkin untuk menyerahkan unit yang ditempah dalam tempoh masa yang munasabah.
“Kami mohon maaf atas kelewatan ini dan diharap pelanggan yang sudah membuat tempahan dapat memahami situasi ini dan bersabar,”ujar Aminar.
Malah Perodua juga sedang berbincang dengan pihak vendor mengenai kaedah terbaik untuk memenuhi permintaan tinggi itu.
Axia memulakan produksinya secara besar-besaran di Perodua Global Manufacturing Sdn Bhd bermula awal September lalu. Di mana kilang terbabit mampu memproduksi 100,000 unit setahun.
Aminar turut menambah, disebabkan sambutan yang begitu menggalakkan ini, sebanyak 180 buah bilik pameran Perodua di seluruh negara akan beroperasi sehingga jam 12 tengah malam pada 25 hingga 28 September ini. Ia bagi memberikan peluang kepada orang ramai untuk berkunjung ke bilik pameran berkenaan bagi melihat dan memandu uji model kompak terbaharu Perodua ini.
Axia merupakan kenderaan cekap tenaga (EEV) pertama di Malaysia dengan menawarkan empat varian iaitu Standard E (MT), Standard G (MT/AT), Special Edition (MT/AT) dan Advance (AT).
Ia dijanakan oleh enjin 1KR-DE2 1.0 liter tiga-silinder 12-injap DOHC yang mampu menghasilkan kuasa 66 hp pada 6,000 rpm dan tork 90 Nm pada 3,600 rpm. Harga yang ditawarkan pula bermula dari RM24,600 sehingga RM42,530 seunit.