Proton Iriz ligat & lincah
Usai majlis pelancaran penuh gilang-gemilang Proton Iriz, InfoKereta.com berpeluang memandu uji seketika model ini di kawasan sekitar Proton City, Tanjung Malim.
Walau pun ia hanya melibatkan sesi pandu uji yang ringkas dan singkat iaitu sekitar 15 minit sahaja, namun serasanya ia memadai untuk memberikan sedikit ulasan mengenainya sebelum pandu uji sepenuhnya yang bakal dianjurkan oleh pihak Proton pada Oktober ini. Harap ulasan ringkas ini dapat membantu memberikan sedikit panduan kepada anda yang mungkin berminat untuk menempahnya.
Unit pandu uji yang diberikan untuk InfoKereta.com ialah varian Premium 1.6 AT. Menurut wakil Proton yang menemani, model yang dipandu ini merupakan unit pra-produksi tetapi pastinya ia tidak banyak bezanya dengan unit produksi yang bakal sampai ke tangan pemiliknya.
Disebabkan ketika sesi pandu uji ini dilakukan, hujan turun sekejap lebat, sekejap renyai, jadi pemanduan terpaksa dilakukan dengan lebih berhati-hati. Tetapi ia bagaikan satu ujian pemanduan bagi menguji kehebatan Iriz di dalam mengharungi hujan. Jalan yang agak licin dengan air bertakung sana sini, tetapi Iriz masih ligat dipacu dalam kelajuan antara 70 hingga 90km/j.
Dipacukan oleh enjin baharu dengan kehadiran teknologi Pemasaan Injap Boleh Laras atau VVT yang berkapasiti 1.6 liter ini mampu memberikan kuasa maksimum sehingga 105 hp pada 5,750 rpm dan tork 150 Nm pada 3,750 rpm. Penulis mendapati varian ini tidak ada masalah untuk memuntahkan kuasa yang diingini. Boleh dikatakan Iriz lincah dalam apa jua kelajuan, sama ada pemanduan santai mahu pun agresif.
Malah ia mampu bertindak dengan pantas mengikut respons yang diberikan pada pedal pendikit. Di mana enjinnya tidak teragak-agak untuk memberikan kuasa dan ia boleh dikatakan pantas mempamerkan prestasi seperti yang diharapkan.
Namun untuk pemanduan yang agak singkat ini, penulis sukar untuk memberikan pendapat mengenai kelancaran transmisi CVT yang ditampilkan untuk varian ini. Ia seakan tidak berapa ‘ummph’, bagaikan kurang seimbang dengan kelancaran enjin.
Bukan ingin mengatakan transmisi ini kurang lancar, tetapi ia seperti berada pada gear rendah lebih lama sebelum kembali normal. Jadi apabila CVT ini memaksa rpm untuk pergi lebih tinggi, maka ia menghasilkan bunyi yang sedikit mengaum.
Mengenai pengendaliannya, bagi penulis, Iriz merupakan sebuah jentera yang mudah dikendalikan. Ia dipadankan dengan Stereng Berkuasa Elektrik (EPS) dan ini memberikan daya pengendalian yang lebih mudah. Walau pun kawalan sterengnya agak ringan tetapi ia masih mudah untuk dikawal.
Disebabkan jalan yang dilalui banyak melibatkan jalan lurus, maka tidak dapat rasai melenjan Iriz di selekoh. Tapi rasanya mesti seronok.
Untuk membuat pusingan U, pastinya tiada masalah buat Iriz. Ia mampu mencapai jejari pusingan minimum sehingga 5.0m.
Iriz dipadankan dengan sistem suspensi topang MacPherson dengan bar penstabilan untuk bahagian hadapan dan gandar Torsion bagi belakang. Ia boleh dikatakan berpadanan dengan jentera sebegini.
Ketika melalui permukaan jalan yang kurang rata dan beralun, Iriz masih selesa dipandu. Olengan badannya juga sederhana. Malah penulis sempat duduk di bahagian penumpang belakang sewaktu Jonathan Lee dari Paultan.org memandunya, kesan bumpy agak kurang dirasai ketika melalui jalan yang beralun.
Jika bercakap soal keselesaan pula, sebagai pemandu, memang ia cukup dirasai. Begitu juga sebagai penumpang, di mana sewaktu uji pandu ini, penulis duduk di bahagian tengah (tempat duduk belakang) dan diapit oleh pengarah fotografi kami dan PR Proton yang boleh dikatakan bersaiz tegap dan tinggi. Bayangkan untuk kereta secomel Iriz ini, masih terasa selesa bila ia mampu memuatkan tiga penumpang di belakang. Tetapi disarankan salah seorang penumpang itu, berbadan kecil seperti penulis, supaya keselesaan masih dapat dirasai.
Mengenai ruang kaki dan ruang kepala pula, ia mempunyai keluasan sederhana dan ngam saja untuk penumpang bersaiz tegap dan tinggi.
Secara konklusi, Iriz dilihat mampu memberikan pengendalian pemanduan yang dinamik iaitu berpadanan dengan kerangka dan prestasi enjinnya.
Mungkin ada lagi kehebatan dan keistimewaan (atau mungkin sedikit kelemahan) Iriz yang masih belum tersingkap ekoran pandu uji dalam masa yang singkat ini. Penulis akan bercerita lebih mendalam mengenai baby terbaharu Proton ini pada masa yang akan datang.