Honda Jazz Petrol CKD kecil-kecil cili padi
Jika 23 November 2012 yang lalu, Honda Malaysia telah melancarkan Honda Jazz Hibrid unit pemasangan tempatan (CKD), kira-kira lapan bulan kemudian, model Jazz Petrol CKD pula diperkenalkan. Ini merupakan berita baik untuk sesiapa yang memasang impian ingin memiliki Honda Jazz ini. Sebelum model CKD ini diperkenalkan, Jazz diimport terus dari Thailand serta berharga RM85,980 (mengikut model Honda Jazz S) dan model sebelum-sebelum ini lebih mahal daripada yang dinyatakan.
Kalau dilihat daripada kronologi kedatangan Jazz ke Malaysia, ia mula dibawa masuk ke sini pada Ogos 2008 dengan dua varian daripada Jazz generasi kedua iaitu Gred S berharga RM104,800 dan Gred V (RM109,800). Kemudian pada April 2011, Gred V dinaik taraf menjadi lebih sporty dan berharga RM109,800. Pada Ogos 2012, Jazz Gred V menggantikan Gred S dan harganya diturunkan menjadi RM99,800. November tahun yang sama, Jazz Hibrid CKD pula diperkenalkan dengan harga RM89,900 (sebelum itu Honda Malaysia telah pun membawa masuk Jazz Hibrid buatan Jepun ke pasaran tempatan berharga RM94,800).
Jazz Petrol CKD yang diperkenalkan pada Julai 2013 lalu ditawarkan pada harga yang cukup berpatutan iaitu RM74,800 (harga atas jalan berserta insurans) dan diproduksi di kilang Honda yang terletak di Pegoh, Melaka. Malah ia juga menyamai spesifikasi varian import sepenuhnya (CBU), cuma mempunyai perbezaan apabila tidak dilengkapi dengan pintu kunci automatik.
Setelah beberapa bulan dilancarkan, Infokereta.com berpeluang memandu uji Jazz Petrol CKD ini. Telah dikhabarkan bahawa daripada segi mekanikal, tiada sebarang perbezaan dengan model terdahulu. Ia masih mengekalkan enjin yang sama iaitu 1.5 liter i-VTEC empat silinder sebaris SOHC 16-injap yang dipadankan dengan transmisi automatik lima kelajuan. Malah Jazz turut dilengkapi dengan Shift Hold Control yang mampu mengurangkan pertukaran gear yang tidak diperlukan ketika melalui selekoh dan berkeupaya menambah kuasa pendikit selepas membuat pusingan U.
Lihat saja kerangkanya yang tampak kecil dan agak kompak, namun mengendalikan Jazz ini memang menyeronokkan. Mampu menghamburkan kuasa maksimum 120PS pada 6,600rpm dengan puncak tork 146Nm pada 4,800rpm, rasanya ia sudah mencukupi buat Jazz. Tidak perlu memecut terlalu laju mencabar kemampuannya sehingga terpaksa mengerah enjin ligat melebihi kapasitinya kerana Jazz diproduksi untuk dipacu secara santai dan bersahaja. Namun Jazz mampu dipacu sehingga meter menghampiri angka 160km/j. Berhati-hati jika mahu melebihi kadar kelajuan tersebut kerana kerangkanya agak ringan dan mungkin menyebabkan bahaya menanti.
Walau bagaimana pun, sistem suspensi yang digunakan iaitu MacPherson Strut dengan bar penstabilan di bahagian hadapan dan H-Shape Torsion Beam di belakang membantu menstabilkan Jazz ini ketika dipacu. Namun elakkan dari memandu laju ketika melalui jalan berselekoh, kerana kebarangkalian untuk berlakunya under steer atau over steer tetap ada. Olengan badan Jazz pula ditahap sederhana. Walau bagaimana pun, ketika ia dipacu dengan kelajuan yang agak tinggi di jalan yang lurus, terasa sedikit rasa bumpy namun keseronokan mengendalikan jentera ini tidak tergugat sama sekali.
Penulis menyukai sifat kawalan sterengnya, ia mudah dikendalikan dan seakan memahami kehendak pemanduan. Begitu juga dengan sistem brek yang digunakan iaitu daripada jenis Ventilated Disc untuk tayar hadapan dan Solid Dics di bahagian belakang. Ia cukup responsif ketika diperlukan. Malah kerjasama erat di antara stereng berkuasa elektrik, pedal brek dan pedal pendikit cukup dirasai.
Berkenaan dengan penggunaan bahan apinya, ia suatu perkara yang boleh dianggap sebagai salah satu markah yang harus diberikan kepada jentera ini. Dengan tangki bahan api penuh berkapasiti 42 liter, penulis dapat mencecah jarak perjalanan hampir mencecah 300km. Nampak gayanya Jazz Petrol CKD ini memberikan penjimatan bahan api yang efisien dan memuaskan hati.
Kerangkanya yang bersaiz 3,900mm (panjang), 1,695mm (lebar), 1,525 (tinggi) dengan jarak roda 2,500mm membuatkan Jazz ini memang mudah dikendalikan terutamanya ketika mahu membuat pusingan U dengan jejari pusingan 5.232 meter, mencelah-celah dalam kesesakan lalu lintas mahu pun diparkir. Ternyata Jazz memang cukup sesuai untuk pemandu yang bertubuh kecil terutamanya golongan wanita. Ia memang cukup comel umpama ‘kecil-kecil cili padi’!
Ok. Bercerita pula tentang ruang kabinnya. Jazz CKD ini tidak banyak perbezaan daripada Jazz versi CBU. Ia turut dipadankan dengan Ultra Seat dan kekemasan rekaan dalamannya dipadankan dengan fabrik gabungan warna hitam dan biru gelap. Papan pemukanya juga tampil ringkas dengan butang-butang kawalan yang mudah dikendalikan. Namun tiada sebarang butang kawalan pada stereng, semuanya berada di bahagian tengah papan pemuka.
Ruang dalamannya juga sederhana luas yang boleh memuatkan lima penumpang dalam satu masa. Manakala ruang kargonya boleh mengisi storan sehingga 1,321 liter apabila tempat duduk belakang dibaringkan.
Jika ikut rekaan standardnya, Jazz memang sudah nampak versatil. Versi CKD ini memang hampir menyamai varian Jazz S CBU dengan padanan rim bersaiz 15 inci yang membaluti tayar 175/65 serta lampu kabus. Namun jika inginkan gaya aerodinamik dan lebih sporty, kit badan Modulo (seperti mana unit pandu uji yang digunakan oleh Infokereta.com ini) dengan harga yang ditawarkan iaitu RM3,950 merupakan pilihan yang paling tepat. Kit badan Modulo terdiri daripada jeriji, penghadang angin pada bampar hadapan, sisi dan belakang serta spoiler memberikan gaya sporty yang mampu membuatkan Jazz ini tampil dengan sentuhan sedikit maskulin.
Untuk imej yang lebih urban, Honda turut menawarkan pakej “Jazz Urban” bernilai RM2,550 dengan gril hadapan, trunk tray, tempat pemijak sesi iluminasi, pedal aloi dengan lampu di bahagian kaki, skirt sisi dan spoiler di bahagian belakang.
Walau pun harganya paling murah di dalam sejarah Honda Jazz yang berada di pasaran Malaysia, namun Honda tetap tidak berkompromi aspek keselamatannya. Untuk versi Jazz Petrol CKD ini, ia turut didatangkan dengan beg udara berkembar, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), ABS, EBD dan Bantuan Brek (BA). Malah kerangkanya juga diproduksi berdasarkan G-Force Control Technology (G-CON) yang mendapat pengiktirafan lima bintang daripada ASEAN NCAP.
Mempunyai empat pilihan warna iaitu Taffeta White, Alabaster Silver Metallic, Sparkling Brown Metallic dan Crystal Black Pearl, Honda Jazz CKD ini turut ditawarkan dengan jaminan selama tiga tahun atau 100,000 km (yang mana terdahulu). Sebagai bonus, pelanggan juga boleh memilih jaminan ekstra enam bulan atau 10,000 km pakej servis percuma. Ternyata pemilikan Honda Jazz Petrol CKD ini memang berbaloi dan wajar berada di dalam senarai pilihan anda jika ingin menukar kenderaan baharu menjelang 2014 ini.
Spesifikasi :
Enjin : 1.5 liter i-VTEC 4-silinder, SOHC 16-injap
Transmisi : Automatik 5-kelajuan
Kuasa maksimum : 120 PS @6,600rpm
Tork maksimum : 146Nm @ 4,800rpm
1 Comment