Honda Civic Type R super sporty – Kemunculan yang dinantikan!
Jika melihatnya secara realiti di hadapan mata, boleh ‘gugur jantung’ dibuatnya! Inilah kelebihan yang ditonjolkan oleh Honda buat model Civic Type R Concept II yang bakal ditayangkan secara rasminya di Paris Motor Show 2014 ini.
Direka bagi model produksi, jentera konsep ini dijanakan oleh enjin 2.0 liter turbocharged empat-silinder yang mampu menghamburkan kuasa melebihi 280 PS. Walau bagaimana pun, Honda masih menyembunyikan lagi spesifikasi lanjutnya tetapi memberikan petanda bahawa jentera ini mampu memuntahkan kuasa lebih hebat berbanding dengan mana-mana model Type R yang terdahulu termasuklah Integra, Accord dan juga NSX.
Jentera super sporty ini juga ditampilkan dengan roda stereng baru dengan butang ‘+R’ untuk meningkatkan lagi kuasa enjin dan respons stereng serta Adaptive Damper System.
Menurut Suehiro Hasshi iaitu Large Project Leader untuk Civic Type R, dalam mod standard, Civic Type R ini boleh bertindak sangat tangkas dan mempunyai kuasa pecutan yang mengagumkan bagi sebuah jentera sport. Namun dengan adanya butang ‘+R’ ini, ia mampu memberikan ledakan kuasa penuh dinamik yang pastinya menaikkan lagi adrenalin pemanduan. Ia banyak memberikan perbezaan karekter antara kedua-duanya. Di mana mod ‘+R’ lebih ekstrem dan jentera ini juga sesuai dilenjan di litar lumba.
Jentera ini juga didatangkan dengan sistem “steer axis” dengan dua elemen “Kingpins” tambahan untuk suspensi hadapan. Honda berkata, mereka cuba untuk mengurangkan kemudi tork dan membolehkan pemandu untuk mengeksploitasikan jentera ini sebaik mungkin.
Honda Civic Type R ini dijangka dijual di pasaran Eropah tahun hadapan dan diproduksi di United Kingdom.