Rasionalisasi subsidi diesel dijangka dilaksana mulai Januari 2015 – KPDNKK
Laporan BERNAMA petang ini menyebut, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sedang dalam peringkat penyediaan sistem bagi pelaksanaan rasionalisasi subsidi bahan api diesel yang dijangka dilaksanakan pada Januari depan.
Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Alias Ahmad, pihaknya sedang menunggu keputusan daripada Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Kementerian Kewangan untuk memutuskan beberapa dasar sebelum pelaksanaan sistem itu.
Di mana pelaksanaan rasionalisasi subsidi bagi diesel itu bakal memberi penjimatan antara lima dan enam bilion liter setiap tahun.
Walau bagaimanapun, pelaksanaan rasionalisasi subsidi bagi petrol pula akan dilaksanakan dalam tempoh yang agak lewat. Ia dijangka bakal dilaksanakan dua hingga tiga bulan selepas pelaksanaan rasionalisasi bagi diesel.
Katanya kira-kira 780,000 buah kenderaan terlibat dengan rasionalisasi subsidi bagi diesel manakala 18 juta kenderaan bagi petrol. Namun sistem rasionalisasi subsidi bagi petrol dijangka membabitkan jumlah yang besar dan sistemnya lebih luas.