Suzuki Vitara serba baharu lebih segak
Enggan hanya sekadar memandang jenama lain gigih mempertontonkan model masing-masing di pameran automotif segempak Paris Motor Show, Suzuki juga turut mempamerkan model SUV Vitara serba baharunya.
Dibina berdasarkan model konsep iV-4 yang pernah ditayangkan di Frankfurt tahun lalu, Vitara serba baharu ini tampil dengan gril radiator krom yang nampak lebih agresif dengan lampu pencahayaan siang LED pada bahagian bampar hadapannya.
Jentera ini turut tampil dengan pacuan empat-roda, selain pilihan tambahan sistem pacuan semua-roda ALLGRIP yang diperoleh daripada SX4 S-Cross dengan harga yang sedikit tinggi.
Suzuki berkata, model Vitara 2015 ini akan dijanakan oleh pilihan enjin diesel dan gasolin dengan penjimatan bahan api yang lebih rendah serta pengurangan pelepasan karbon dioksida.
Ia dijadualkan bakal memasuki pasaran United Kingdom pada musim bunga tahun hadapan. Suzuki juga akan memberikan maklumat yang lebih terperinci kelak, termasuk pilihan warna dan variannya.