Toyota Eco Youth fokus isu kesedaran alam sekitar
Program Toyota Eco Youth (TEY), sebuah usaha tanggungjawab sosial UMW Toyota untuk alam sekitar, melabuhkan tirai dengan rasminya semalam di Hotel Concorde, Shah Alam.
Ia disempurnakan oleh Pengarah Ko-Kurikulum dan Kesenian, Kementerian Pelajaran, Hajjah Rozainum Ahmad dan Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ismet Suki. Majlis penutup gilang-gemilang itu diikuti dengan pameran dan persidangan oleh 16 buah sekolah yang turut disertai oleh wakil dari Kementerian Pelajaran dan sekolah-sekolah yang terlibat.
Penganjuran bagi tahun ke-14, TEY kini sudah melebarkan sayap ke 200 buah sekolah seluruh negara, dengan melibatkan 1,500 orang pelajar. Sejak 2011, program berkenaan mula melibatkan lebih ramai pihak di dalam penganjurannya, seperti majlis kerajaan tempatan, korporat, pemimpin komuniti, media tempatan, peniaga dan penduduk setempat.
Di dalam ucapannya, Datuk Ismet menjelaskan bahawa UMW Toyota Motor memanfaatkan usaha Prinsip Bimbingan Toyota Motor Corporations (Guiding Principles TMC) yang sudah terbukti mampu menyumbang kepada aspek kemapanan dan keharmonian masyarakat setempat.
“Kami dengan bangga ingin berkongsi prinsip-prinsip yang sudah diamalkan selama 30 tahun ini di dalam semua sisi perniagaan yang dijalankan Toyota bersama masyarakat,” tambah Datuk Ismet.
Awal tahun ini, pelajar dan guru yang mengambil bahagian dihantar untuk mengikuti kursus Kaedah Penyelesaian Masalah 8-Langkah Toyota, yang antara lain boleh dilaksanakan di dalam apa juga keadaan berkaitan permasalahan alam sekitar.
TEY merupakan satu daripada pelbagai acara berkaitan alam sekitar yang dianjurkan oleh UMW Toyota Motor. Pengeluar kenderaan ini turut aktif terlibat di dalam pelbagai acara alam sekitar, sebagai contoh mendedikasikan bulan Jun untuk meningkatkan kesedaran alam sekitar terhadap semua staf sempena Hari Alam Sekitar UN dan penanaman pokok sebagai aktiviti utama melibatkan staf, majlis kerajaan tempatan, sekolah dan komuniti setempat.
“Kami sudah menanam hampir 15,000 pokok di pelbagai lokasi sejak 2008. Ini dijalankan sebagai maklum balas terhadap kesan rumah hijau, dan dalam masa sama menghindarkan tanah runtuh,” tambah Datuk Ismet lagi.