Jeep Grand Cherokee SRT Red Vapor edisi istimewa tersergam imej maskulin!
Bagi anda yang meminati pacuan empat roda yang diyakini tahan lasak, mungkin akan tertarik dengan jentera ini. Jeep Grand Cherokee SRT Red Vapor turut mengambil tempat tersendiri di Paris Motor Show 2014 yang sedang berlangsung.
Tersergam imej yang penuh maskulin, jentera edisi istimewa ini bakal didatangkan dengan tiga warna pilihan iaitu Redline Pearl Clear Coat, Brilliant Black Crystal Pearl Coat dan Bright White Clear Coat.
Bagi luarannya, ia turut menampilkan rim aloi bersaiz 20 inci dengan kekemasan krom Black Vapor serta gril dan bampar hadapan yang kelihatan agresif.
Ruangan kabinnya pula dihiasi dengan dua tona kontras termasuklah tempat duduk balutan kulit berwarna hitam dengan Radar Red. Bukan itu sahaja, ia turut menampilkan kekemasan gentian karbon, jahitan kontras Radar Red dan roda stereng yang sporty.
Selain itu, ia turut menampilkan sistem audio Harman Kardon dengan 19 pembesar suara dan sistem infotainmen UConnect bersama skrin paparan bersaiz 8.4 inci, sambungan Bluetooth dan navigasi GPS.
Jeep Grand Cherokee SRT Red Vapor dikuasakan oleh enjin 6.4 liter HEMI V8 yang mampu menghamburkan 468 hp dan tork 624 Nm. Ia juga dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan. Malah jentera ini mampu dipacu daripada titik sifar sehingga 100km/j dalam hanya 5 saat sebelum meledak sekencang 257km/j.