DBKL sediakan aplikasi semak kenderaan tunda menerusi WhatsApp, Telegram & SMS
Bagi memudahkan orang ramai menyemak status kenderaan mereka yang ditunda, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menyediakan kemudahan aplikasi WhatsApp dan telegram serta khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk tujuan berkenaan.
Laporan BERNAMA yang memetik kenyataan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib, orang ramai boleh membuat semakan bermula semalam dengan menghantar nombor pendaftaran kenderaan mereka ke talian 013-6663255.
Katanya, mana-mana pemilik atau pemandu yang merasakan kenderaan mereka telah ditunda, boleh membuat semakan menggunakan aplikasi ini dan dari situ pihaknya akan maklumkan kepada mereka lokasi simpanan kenderaan tunda dan jumlah bayaran kompaun yang perlu dibayar.
“Untuk memastikan orang ramai mengetahui kemudahan aplikasi itu, DBKL juga telah memasang 30 notis pemberitahuan di sekitar pusat bandar terutamanya di kawasan hot spot penundaan kenderaan iaitu di Bukit Bintang, Jalan Pudu dan Bangsar,” ujarnya lagi.
Beliau berkata dari Januari hingga September tahun ini, sebanyak 6,105 buah kenderaan yang melakukan kesalahan halangan telah ditunda membabitkan jumlah bayaran kompoun sebanyak RM143,370.
Justeru, Ahmad Phesal berharap dengan tindakan penguatkuasaan dan kemudahan semakan dan tuntutan kenderaan tunda yang lebih dekat ini, akan memberi pengajaran dan kesedaran orang ramai untuk tidak melakukan kesalah trafik di ibu kota.