LLM cadang kuatkuasa perintah larangan kenderaan berat pada cuti umum
Musim cuti Aidil Adha yang baru disambut hujung minggu lalu menyaksikan beberapa insiden kemalangan yang melibatkan kenderaan berat. Malah ada juga yang menyebabkan nyawa terkorban, iaitu kemalangan di KM256.1 (Arah Utara) Lebuhraya PLUS iaitu 4.7 kilometer selepas Terowong Menora pada 4 Oktober lepas yang telah mengorbankan seorang ibu dan anaknya selain mencederakan tiga yang lain.
Di mana sebuah treler telah melanggar treler yang lain dari arah belakang, kemudian treler berkenaan merempuh pula bahagian belakang sebuah kereta hingga mengorbankan dua nyawa.
Ekoran kejadian tersebut, pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bercadang menguatkuasakan perintah larangan kepada kenderaan berat semasa cuti-cuti umum tertentu dalam usaha mencegah kemalangan di lebuh raya.
Melalui kenyataan yang dilaporkan oleh BERNAMA, Ketua Pengarah LLM Datuk Ir Ismail Md Salleh berkata pihaknya percaya, kerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dapat menguatkuasakan larangan itu melalui Seksyen 70 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Larangan (boleh) dikuatkuasakan melalui perintah yang disiarkan dalam Warta melarang atau menyekat daripada memandu atau menggunakan kenderaan-kenderaan atau apa-apa kelas atau perihalan tertentu kenderaan-kenderaan di mana-mana jalan atau mana-mana bahagian jalan yang dinyatakan dalam perintah itu,” katanya.
Ismail berkata pihaknya menerusi syarikat konsesi PLUS Berhad juga sentiasa melaksanakan intervensi yang bersesuaian dari semasa ke semasa bagi meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna lebuh raya.
Dalam pada itu, LLM berharap Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) dan JPJ akan memantau dengan lebih ketat ke atas pengusaha perkhidmatan logistik ini dari segi aspek keselamatan keadaan kenderaan berat tersebut.