GST mungkin tidak akan turunkan harga kenderaan – MAA
Pelaksanaan Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST) mulai 1 April 2015 dijangka akan memberikan kesan terhadap harga kenderaan, mengikut kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Persatuan Automotif Malaysia, Datuk Aishah Ahmad, menerusi laporan yang disiarkan oleh akhbar The Star hari ini.
Menurut Aishah, MAA berpendapat bahawa adalah kurang tepat untuk mengatakan bahawa harga kenderaan akan turun hanya kerana cukai jualan sebanyak 10% akan digantikan dengan 6% GST.
Walau bagaimana pun, pelaksanaan GST akan mempunyai implikasi yang berbeza untuk sektor automotif tempatan berbanding rejin cukai jualan semasa.
“Di bawah GST, akan ada implikasi yang berbeza untuk perniagaan dalam pelbagai bidang yang merangkumi pengiraan cukai, pengumpulan, bayaran balik, dan kos berbanding dengan rejim Cukai Jualan dan Perkhidmatan sedia ada. Oleh itu, pengedar kenderaan perlu mengkaji semula struktur kos keseluruhan mereka dan rantaian bekalan bagi implikasi ini,”ujar Aishah.
Beliau turut berkata, industri automotif memerlukan garis panduan yang lebih jelas sebagai persediaan apabila GST diperkenalkan kelak dan ini juga boleh memberikan panduan kepada para pengguna mengenai apa yang diharapkan daripadanya.
“Pencerahan yang lebih jelas perlu dilakukan terutamanya yang memberikan kesan ke atas operasi perdagangan industri kita. Ini termasuk isu-isu kritikal utama seperti bayaran balik cukai jualan yang seharusnya diselesaikan sebelum akhir tahun ini. Ini akan membolehkan pengedar kenderaan mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat persediaan sebelum GST bermula,”sambungnya lagi.
Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ismet Suki turut berpendapat, 6% yang dikenakan oleh GST adalah mungkin atau pun tidak menyebabkan peningkatan mendadak bagi harga kenderaan baharu. Atau pun mungkin juga membuatkan harganya akan turun.
“Kami sendiri tidak tahu adakah ia akan mengurangkan harga kenderaan dan saya berpendapat para pengguna juga perlu menunggu dengan penuh harapan untuk mengetahui adakah akan berlakunya perubahan besar terhadap harga kenderaan baharu ini. Walau bagaimana pun, saya berharap pihak kerajaan bersedia memberikan panduan yang lebih jelas mengenai implementasi GST ini agar kelangsungannya berjaya,”ujar Ismet pula.