UBER bakal mengadakan pertemuan dengan SPAD
Baru-baru ini, akhbar TheSunDaily melaporkan, pihak pengurusan UBER bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan Suruhan Jaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi memberikan penerangan lanjut mengenai perkhidmatan mereka. Ia dijangka bakal berlangsung pada petang ini di ibu pejabat SPAD sendiri.
Menurut jurucakap SPAD, buat masa ini tiada maklumat yang boleh dikongsikan. Dan ini bukanlah mesyuarat rasmi, sebaliknya pihak UBER hanya mahu memberikan penjelasan yang lebih terperinci mengenai perkhidmatan mereka.
Sambil menambah, pihak SPAD akan memberikan panduan bagaimana UBER boleh beroperasi secara sah di Malaysia memandangkan terdapat beberapa perkara yang dilakukan oleh mereka didapati menyalahi Akta Pengangkutan Awam Darat (LPTA) terutamanya menggunakan kenderaan persendirian untuk membawa penumpang yang membayar tambang.
Pada pertemuan yang bakal berlangsung ini, UBER akan diwakili oleh Ketua Jabatan Publisiti Awam Asia Pasifik, Jordan Condo, manakala Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar atau pun CEO Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal akan mewakili SPAD.
Sumber terbabit juga memberitahu, pertemuan ini tidak akan membabitkan pihak polis atau pun JPJ.
Pada September lalu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan bahawa pihaknya bersama dengan SPAD dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal melancarkan operasi bagi memburu mana-mana pemilik kenderaan persendirian yang menawarkan perkhidmatan Uber.
Menurut JPJ, penggunaan kenderaan persendirian untuk mengambil penumpang adalah melanggar Seksyen 16 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010, yang boleh didenda tidak melebihi RM10,000, penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.