150 stesen pengecas EV bakal dibina menjelang 2017
Bagi merangsang perkembangan pembinaan kenderaan elektrik (EV), Institut Automotif Malaysia (MAI) dengan kerjasama beberapa pihak akan membangunkan antara 125 hingga 150 stesen pengecas EV menjelang tahun 2017.
Menurut laporan yang disiarkan oleh Berita Harian, CEO MAI, Mohamad Madani Sahari, berkata pembangunan stesen pengecas yang bakal bermula tahun depan, akan menggunakan dana di bawah Dasar Automotif Negara 2014 (NAP) berjumlah RM150 juta.
Stesen pengecas EV akan mula dibangunkan di beberapa lokasi seperti Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Timur-Barat, di pusat bandar Kuala Lumpur dan kawasan tumpuan sebagai persediaan menjadikan Malaysia negara mesra EV.
Katanya, MAI menjangkakan kos pembinaan setiap stesen pengecas sebanyak RM50,000. Di mana dengan dana NAP 2014 berjumlah RM150 juta, sebenarnya boleh membangunkan lebih banyak stesen pengecas di seluruh negara menjelang 2020.
Dalam perkembangan sama, Madani berkata, hasil kerjasama kerajaan dan pemain industri automotif, Malaysia akan mengeluarkan prototaip bas elektrik buatan Malaysia pertama pada Ogos tahun depan.
Bas elektrik itu yang akan menggunakan 70 peratus komponen tempatan pada peringkat awal, akan dihasilkan syarikat tempatan yang kini sedang dalam proses memperbesarkan kilang pengeluaran.
Mengenai Bajet 2015, Madani berkata, dana pinjaman Sustainable Mobility Fund berjumlah RM70 juta yang disediakan oleh SME Bank akan memacu pembangunan EV di Malaysia terutama membabitkan sokongan kepada aktiviti pengeluaran.