Toyota Corolla Altis – Varian 1.8G bakal menggantikan 2.0G
Selepas melancarkan model facelift Toyota Altis dengan menawarkan tiga varian iaitu 1.8E, 2.0G dan 2.0V, perkhabaran yang bertebaran telah mengesahkan bahawa UMW Toyota Motor (UMWT) bakal menggantikan model 2.0G dengan varian baharu iaitu 1.8G. Perkhabaran ini telah pun diwar-warkan menerusi laman web rasmi UMWT sendiri dengan mengesahkan bahawa model 1.8G ini bakal memasuki pasaran Malaysia tidak lama lagi.
Dengan harga atas jalan yang ditawarkan iaitu RM119,900 (berserta insurans), ternyata ia RM3,000 lebih murah berbanding dengan model sedia ada 2.0G (yang berharga RM123,000) seperti mana yang diperkenalkan pada Januari lalu.
Belum ada lagi foto rasminya dipaparkan, namun nampak gayanya ia mirip seperti 2.0G.
Ia dijanakan oleh enjin 1.8 liter yang mampu memberikan kuasa sehingga 139 PS dan tork 173 N, dan masih dipadankan dengan transmisi CVT tujuh kelajuan.
Elemen baharu yang ditampilkan ialah kombinasi material kulit upholstery seperti mana yang diimplementasikan pada model 2.0V (di mana model 2.0G hanya menggunakan fabrik bagi membaluti tempat duduknya).
Model ini juga tampil dengan kemasukan pintar dan butang penghidup enjin, unit 2-DIN pemain DVD dengan enam pembesar suara, skrin sesentuh bersaiz tujuh inci, dua beg udara (masih tidak ditampilkan VSC) dan rim aloi bersaiz 16 inci yang dibaluti tayar 205/55.