GST bukan alasan untuk tidak turunkan harga kereta – Ahmad Maslan
Laporan BERNAMA baru-baru ini menyebut, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan dalam kenyataannya berkata, pemain industri automotif di negara ini tiada alasan untuk tidak menurunkan harga kereta apabila Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan April tahun depan.
Pelaksanaan GCT sebanyak enam peratus bermula 1 April itu bagi menggantikan 16 peratus Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
“Penurunan harga berdasarkan konsep 10 peratus (cukai jualan yang termasuk dalam harga kereta) menjadi enam peratus amatlah mudah difahami, dan pemain industri tidak sewajarnya mengelak daripada menurunkan harga kereta dengan menjadikan GST sebagai alasan,” katanya.
Selain itu katanya, penurunan harga kenderaan dijangka antara satu dan tiga peratus tersebut turut disahkan oleh pegawai Kementerian Kewangan serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
“Memang kita jangkakan penurunan harga kereta, tetapi kadar penurunan itu masih belum dapat dipastikan,” katanya.