Galeri : Proton Iriz VS Perodua Myvi – Mana satu pilihan anda?
Sama hebat. Sama menarik. Kedua-duanya ada keistimewaan yang tersendiri yang ingin ditonjolkan bagi menambat perhatian ramai.
Malah kehadiran Proton Iriz dilihat sebagai pencabar terdekat buat Perodua Myvi. Namun, harus diingat, Myvi telah lama mengungguli takhta sebagai model hatchback paling tinggi jualannya untuk segmen-B selama sembilan tahun berturut-turut. Suatu pencapaian yang agak sukar untuk digugat. Tetapi adakah kehadiran Iriz mungkin bakal mengubah keadaan ini? Mungkin ya, mungkin tidak.
Galeri foto ini membawakan model Iriz 1.6 Premium dan Myvi 1.5 SE.
Apa perbezaan antara keduanya?
Pertama, Iriz memiliki 215 mm lebih panjang, 55 mm lebih lebar dan 5 mm lebih tinggi berbanding Myvi yang berukuran 3,905 mm panjang, 1,720 mm lebar dan 1,550 mm tinggi. Malah Iriz juga memiliki berat 1,185 kg berbanding Myvi yang hanya 980 kg.
Foto di bawah ini juga menyaksikan Iriz bergaya dengan rim aloi bersaiz 15 inci dan Myvi pula hanya ‘berkasut’ 14 inci.
Proton juga menampilkan lampu pencahayaan siang (DRL) LED buat Iriz. Manakala Myvi menampilkan lampu kabus hadapan standard (Iriz 1.6 Executive juga menampilkan lampu kabus yang sama posisinya dengan DRL).
Perodua juga turut menampilkan set berbeza bagi model standard dan SE/Extreme. Sementara Proton pula turut menampilkan kit badan yang berbeza bagi setiap variannya.
Di bawah hudnya pula, bagi varian ini, Iriz dijanakan oleh enjin 1.6 liter VVT dengan kuasa maksimum 107 hp dan tork 150 Nm. Manakala Myvi pula tampil dengan enjin 1.5 liter DVVT yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 102 hp dan tork 136 Nm.
Iriz juga dipadankan dengan transmisi CVT yang mampu memacu jentera ini sehingga 100 km/j dalam tempoh 11.1 saat. Bagi Myvi pula, ia dipadankan dengan kotak gear automatik empat-kelajuan yang mampu pacuan sehingga 100 km/j dalam tempoh 12.5 saat.
Untuk rekod, bagi model Iriz 1.3, ia mampu menghasilkan kuasa 94 hp dan tork 120 Nm. Manakala Myvi 1.3 pula, hanya 90 hp dan tork 117 Nm.
Bagi rekaan di dalam kabin, papan pemuka Iriz tampil lebih moden tetapi sedikit konvensional. Manakala Myvi pula tampil seperti rekaan dalaman sebuah MPV bagi memberi penekanan lebih kepada ruang dalaman. Di mana tuil gear Myvi yang terletak di bahagian papan pemuka sebenarnya memberikan ruang yang lebih pada bahagian hadapan. Namun posisi kawalan penghawa dingin Iriz pada posisi yang sama memberi lebih menonjol daripada segi ketrampilan.
Kedua-duanya juga memiliki unit kepala dengan skrin sesentuh yang sama, namun Iriz memiliki fungsi kamera undur.
Bagi model 1.6 Premium ini juga, Iriz turut ditampilkan dengan lampu utama auto dan sistem kemasukan tanpa kunci. Myvi pula tampil dengan kluster instrumen electroluminescent Optitron yang lebih cepat terang berbanding dengan Iriz. Namun kedua-duanya juga memiliki kawalan audio pada roda stereng sebagai elemen standard.
Berkenaan dengan ruangnya, kelihatan Myvi memiliki lebihan ruang kaki pada bahagian tempat duduk penumpang belakang. Dan Iriz pula tampil dengan posisi kedudukan yang lebih selesa dengan mempunyai perehat kepala yang boleh dilaraskan.
Manakala ruang kargonya pula, Iriz memiliki ruang kapasiti sebanyak 215 liter, berbanding Myvi hanya 208 liter. Namun tempat duduk belakang Iriz tidak boleh dilipat secara rata berbanding dengan Myvi.
Untuk aspek keselamatan pula, Iriz 1.6 Premium tampil dengan enam beg udara (varian lain hanya dua) dan juga elemen standard Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC). Manakala Myvi SE hanya tampil dengan dua beg udara dan tidak memiliki ESC. ESC merupakan elemen keselamatan standard bagi semua model Iriz. Manakala Myvi XT pula tidak ditampilkan ABS.
Proton telah menerima pengiktirafan lima bintang bagi ujian pelanggaran oleh ASEAN NCAP, dan Myvi pula hanya tiga bintang sahaja.
Itu sahaja perbezaan ringkas antara kedua-dua model hatchback yang bersaing di bawah segmen-B.
Apa komen anda?
Proton Iriz
Perodua Myvi
3 Comments