Malaysia-Indonesia bakal bekerjasama dalam pengeluaran kereta Asean – Najib
Malaysia dan Indonesia bakal bekerjasama dalam bidang automatif bagi merealisasikan projek pengeluaran dan pembuatan “Kereta Asean” pada masa depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin.
Memetik laporan BERNAMA hari ini menyebut, Najib berkata impian melaksanakan projek itu akan tercapai apabila Presiden baharu Indonesia, Joko Widodo yang lebih dikenali sebagai Jokowi turut berminat dengan idea Malaysia itu yang bakal menyaksikan pembabitan pengeluar kereta nasional Malaysia iaitu Proton.
“Kemungkinan kita akan mengkaji usaha projek kereta Asean antara Malaysia dan Indonesia, dan (cadangan) ini telah disambut baik oleh Presiden Jokowi yang mahu idea itu dikaji lebih lanjut”.
“Ini bermakna Proton bersama dengan Indonesia melancarkan projek Kereta Asean sebagai projek yang berdaya melalui kajian lebih mendalam,” kata beliau mengenai perancangan ini.
Jokowi memulakan tugas hari pertamanya hari ini sebagai presiden ketujuh republik itu dalam satu istiadat di hadapan Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR) bagi memimpin negera berpenduduk 250 juta orang.