Jaguar-Land Rover buka kilang pertama di luar negara – China jadi pilihan
Seperti yang kita semua sedia maklum, semua kenderaan termasuk trak jenama Jaguar dan Land Rover (JLR) dibawa masuk dari United Kingdom (UK). Namun akhirnya pembuat kenderaan terkemuka Britain itu telah membuat keputusan untuk membuka kilang produksi pertama di luar negara dengan memilih China sebagai lokasinya.
Terletak di Changshu, China, kilang ini terbina dengan kos sebanyak $1.8 bilion adalah hasil kerjasama antara JLR dan pengeluar kenderaan tempatan, Chery. Kilang yang terbina dalam kawasan seluas 4.3 juta kaki persegi ini mampu menghasilkan sebanyak 130,000 unit setahun untuk pasaran domestik. Sebelum ini JLR telah menjual lebih 100,000 unit kenderaannya setiap tahun di pasaran global.
Dikenali sebagai Chery Jaguar Land Rover Automotive Company, kilang ini memulakan produksi bagi Evoque memandangkan ia antara model global yang paling laris dijual di China. Model kedua pula iaitu Discovery Sport akan diproduksi selepas Evoque.
JLR turut mengumumkan bakal memproduksi sebuah model khas untuk pasaran China, namun ia masih belum didedahkan secara terperinci. Kemungkinan besar melibatkan model XE atau pun XF yang dikatakan menepati selera masyarakat di sana.
Selain China, JLR juga sedang merancang untuk membina kilang produksi di Brazil yang dijangka mula beroperasi pada tahun 2016. Destinasi seterusnya ialah selatan Amerika Syarikat pula. Dan JLR juga bakal membuka kilang baharunya di Wolverhampton, England, yang bakal dirasmikan oleh Ratu Elizabeth dan suaminya, Putera Philip.