RON95 bagi golongan berpendapatan tinggi mengikut harga pasaran mulai Jun 2015
Laporan BERNAMA petang ini menyebut, harga jualan petrol RON95 bagi golongan berpendapatan tinggi adalah mengikut harga pasaran mulai Jun tahun hadapan.
Menurut Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan, “Mereka akan membayar harga RON95 mengikut harga pasaran. Misalnya kalau harganya RM2.58 sen seperti sekarang, maka RM2.58 sen lah. Mungkin bila harga minyak dunia turun, maka turunlah. Kalau naik terpaksalah (bayar lebih tinggi).”
Ahmad berkata golongan berpendapatan rendah dan sederhana pula akan terus menikmati RON95 pada harga subsidi.
“Sistem ini lebih adil sebab hanya golongan yang layak sahaja akan menerima subsidi,”katanya.
Harga RON95 ketika ini ialah RM2.30 seliter.
Ahmad berkata mekanisme dan kaedah pelaksanaannya sedang diperhalusi Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan sama ada menggunakan MyKad atau kad-kad lain.
Menurutnya sistem yang sama akan turut dilaksanakan kepada pengguna diesel mulai Januari tahun depan melalui menggunakan kad fleet.
Pada awal bulan ini, harga bagi petrol RON 95 dinaikkan sebanyak 20 sen menjadi RM2.30 seliter. Disel juga mengalami peningkatan kadar harga yang sama iaitu daripada RM2.00 menjadi RM2.20.
Pada pembentangan Bajet 2015 yang berlangsung 10 Oktober lalu pula, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan bahawa RON 95, diesel dan LPG tidak akan dikenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang bermula pada April tahun hadapan.