Nissan Serena S-Hybrid versi CKD telah pun bersedia terima tempahan
Nissan menerusi Edaran Tan Chong Motor (ETCM) telah pun mempromosikan model facelift, Serena S-Hybrid, di laman web rasminya yang bersedia menerima tempahan.
Jika model yang dipasarkan di Malaysia sebelum ini dibawa masuk dari Jepun, model facelift ini pula adalah unit pemasangan tempatan (CKD) yang dipasang di kilang milik Tan Chong yang terletak di Serendah, Selangor.
Tiada perubahan daripada sudut penjana kuasa dan masih menggunakan enjin MR20DD berkapasiti 2.0 liter yang mampu memberikan kuasa maksimum sehingga 147 PS pada 5,600 rpm dan tork 210 Nm pada 4,400 rpm. Ia turut dipadankan dengan kotak gear Xtronic CVT dengan Adaptive Shift Control.
Walau bagaimana pun, terdapat sedikit perubahan pada kit badannya. Di mana ia didatangkan dengan lampu utama LED (yang menggantikan lampu utama halogen reflektor) dengan lampu signatur LED.
Pada bahagian belakangnya pula, lampu belakang LED memiliki paten yang baharu dengan rupa yang lebih segar. Malah ia juga didatangkan dengan rim aloi bersaiz 16 inci dengan rekaan baharu.
Selain itu, elemen lain yang masih kekal ialah pintu gelunsur berkuasa elektronik, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, kawalan kelajuan, roda stereng balutan kulit dan juga penghawa dingin automatik.
Bagi varian Premium Highway Star, elemen tambahan turut ditampilkan iaitu skrin LCD (roof-mounted) bersaiz 10.1 inci, skrin multimedia bersaiz 6.5 inci yang bertindak sebagai paparan navigasi, kamera undur dan memiliki sambungan Bluetooth dan pemain DVD, spoiler bumbung, lapisan cermin keselamatan V-Kool Elite, tempat duduk balutan kulit kombinasi dan pelindung pintu.
Untuk aspek keselamatan pula, ia turut dilengkapi dengan ABS, EBD, Bantuan Brek (BA), Hill Start Assist, Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC), ISOFIX dan dua beg udara.
Untuk keluasan ruang yang lebih optimum, “captain seats” boleh dialihkan untuk memberikan laluan ke tempat duduk barisan ketiga. Serena S-Hybrid ini mampu mengisi kapasiti penumpang seramai lapan orang.
Dijangka berharga di bawah RM140,000 bagi Highway Star dan dibawah RM150,000 untuk Premium Highway Star, model facelift ini bakal dilancarkan pada awal November 2014.