RON 95 : Struktur & mekanisme program rasionalisasi ambil masa untuk diputuskan
Struktur dan mekanisme bagi program rasionalisi subsidi RON 95 yang sepatutnya dilaksanakan pada Jun tahun hadapan, masih belum diputuskan. Menurut Timbalan Menteri Kewangangan, Datuk Chua Tee Yong, perkara ini perlu diteliti dan dikaji secara mendalam. Malah kemungkinan besar ia tidak dapat didedahkan sehingga tahun hadapan.
“Buat masa ini, kami masih mengkaji sistem ini. Malah kami juga sedang mencari agensi yang sesuai untuk membantu menjayakan implementasi sistem ini, “kata Chua.
Katanya lagi, golongan berpendapatan atau kumpulan sasaran yang akan terus menikmati subsidi bahan api dengan program rasionalisasi ini perlu dikenal pasti. Khamis lalu, pihak media melaporkan program subsidi ini akan melibatkan MyKad dan berdasarkan pendapatan pengguna.
Di mana golongan yang berpendapatan tinggi akan membayar harga jualan RON 95 mengikut harga pasaran mulai Jun tahun hadapan iaitu RM2.58 setiap liter, mengikut harga pada masa ini).
Manakala individu yang diklasifikasikan sebagai ‘golongan berpendapatan rendah’ bakal terus menikmati subsidi seperti sekarang iaitu RM2.30 setiap liter. ‘Golongan berpendapatan rendah’ ini adalah bagi mereka yang berpendapatan RM4,000 ke bawah dan menerima BR1M.
Penggunaan MyKad untuk menentukan kelayakan menerima subsidi ini adalah berdasarkan data daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Chua turut menambah, pengumuman akan dilakukan sebaik sahaja Kabinet memberikan kelulusan.