Perodua Axia… kredibiliti & praktikaliti bersatu
Pada hari pelancarannya iaitu 15 September yang lalu, Perodua mensasarkan sebanyak 30,000 unit tempahan sebelum berakhirnya 2014. Namun kini sebanyak 42,000 unit tempahan telah direkodkan.
Ini menunjukkan perkembangan yang begitu memberangsangkan buat model terbaharunya, Perodua Axia, yang boleh dikatakan pantas menambat perhatian rakyat Malaysia. Malah hari ini, kelibat Axia sudah terlihat banyak di jalan raya.
20 Ogos lalu, buat pertama kalinya, InfoKereta.com memandu uji Axia (dalam tempoh lima minit) di Maeps, Serdang. Seminggu selepas itu, buat kali kedua, jentera kompak ini diuji sekali lagi, di trek ujian Perodua yang terletak di Sungai Choh, Rawang.
Dan hujung minggu lalu, buat kali ketiga, Axia dipandu uji, tapi kali ini selama empat hari pula. Jadi lebih puas memandu ujinya dan pastinya ulasan lebih terperinci dapat dikongsikan bersama para pembaca.
InfoKereta.com diberikan varian Advance untuk dipandu uji. Seperti mana varian Axia yang lain, model ini turut menggunakan penjana kuasa yang sama iaitu enjin 1.0 liter 12-injap DOHC. Ia mampu menghasilkan kuasa 49 kW pada 6,000 rpm dan tork 90 Nm pada 3,600 rpm.
Ramai teman yang bertanya, adakah memandu Axia ini sama ‘rasanya’ dengan model Viva? Bagi penulis, ia mempunyai sedikit persamaan namun layak dikatakan bahawa Axia lebih ‘syok’ dipandu. Menggunakan kapasiti enjin yang sama, Viva pula mampu menghamburkan kuasa sehingga 45 kW pada 6,000 rpm dan tork 90 Nm pada 3,600rpm.
Jika dilihat pada angka ini, ternyata kuasa maksimum Axia melebihi 4 kW berbanding Viva pada tahap rpm yang sama. Bagaimana pun, daya tork antara kedua-dua model ini sama. Walau pun perbandingan ini tidaklah berada dalam jurang yang besar, namun ia tetap memberikan perbezaan kuasa maksimum yang dipamerkan antara kedua-duanya.
Bonus tambahan pada Axia ini juga boleh dilihat pada penampilan kotak gear automatik empat-kelajuan yang baharu. Di mana, ia lebih lancar berbanding dengan transmisi yang sama bagi model Perodua lain termasuk Myvi, Viva dan Alza. Malah pertukaran gearnya agak tidak begitu dirasai. Tahniah buat Perodua kerana berjaya mencipta transmisi automatik sebaik ini.
Bagi penulis, Axia menampilkan kuasa prestasi yang bersederhana, seperti mana yang diwar-warkan oleh Perodua sebelum ini. Di mana Axia merupakan sebuah jentera kompak EEV, iaitu kenderaan cekap tenaga pertama di Malaysia, yang pastinya mampu memberikan penjimatan bahan api yang lebih efisien. Jadi memandu Axia secara santai adalah lebih sesuai, berbanding melenjannya ‘tahap kaw-kaw’ atau pun agresif kerana ia pasti mempengaruhi penggunaan bahan api.
Malah jika anda memandu Axia dengan kelajuan yang sekata, butang ECO akan menyala walau pun jarum meter berada di angka 80 km/j. Berbanding jika anda sekejap memecut, sekejap dalam kelajuan sederhana (kelajuan yang tidak menentu), ia mungkin akan mempengaruhi penggunaan bahan api. Atau pun ketika memandu dalam kelajuan sederhana, secara tiba-tiba anda menekan lebih pedal pendikit secara mendadak, maka pastinya enjin terpaksa mengerah tenaga berlebihan untuk mencapai kelajuan yang anda kehendaki.
Jadi, memandu Axia dalam momentum yang sama, adalah lebih bersesuaian berbanding dengan memaksa enjin melakukan kerahan tenaga. Memanglah tidak dinafikan, Axia ini mampu dipecut dan masih ligat dalam kelajuan walau menghampiri angka 120-140 km/j, namun kena beringat juga, kerangkanya yang comel, agak berbahaya jika memandu ‘melebihi’ kemampuannya.
Apatah lagi jika memandunya di jalan yang berliku mahu pun beralun, lebih sesuai dengan kelajuan yang sederhana. Namun Axia masih mampu bertindak pada tahap yang memuaskan jika cara pemanduan lebih berhemah dan santai.
Mendaki jalan berbukit? Anda perlukan sedikit kesabaran. Faham-faham sajalah dengan kapasiti enjin yang ‘secomel’ kerangkanya, sudah pasti memerlukan sedikit masa untuk mengerahkan tenaga mendaki jalan sebegitu rupa.
Berkenaan dengan olengan badannya, ia masih pada tahap sederhana melainkan Axia ini dilenjan secara agresif. Maka, kesan bumpy mudah dirasai terutamanya jika jentera dipandu di atas permukaan jalan yang beralun.
Berkenaan dengan Stereng Kuasa Elektrik (EPS), berada pada tahap sederhana. Ia cukup responsif ketika berada di atas jalan raya. Namun ketika mahu melakukan pusingan U, putaran sterengnya agak perlahan, jadi harus ‘memaksanya’ bertindak lebih pantas dan responsif, biarpun Axia memiliki jejari pusingan sehingga 4.5 meter. Begitu juga ketika memandu di jalan yang berselekoh, kawalan stereng perlu lebih kemas.
Selain itu, penulis kurang menyenangi tahap NVH (Bunyi bising, gegaran dan kekasaran) Axia yang agak ketara terutamanya jika jentera ini dipandu dalam kelajuan yang sedikit tinggi. Ngauman enjin dan seretan angin ‘bersatu’ memasuki bahagian kabin. Secara tidak langsung membuatkan konsentrasi pemanduan sedikit terganggu.
Axia memiliki berat 850 kg dan bagi mencapai standard EEV, beberapa elemen telah diberi penambah baikan seperti gabungan enjin dengan transmisi baharu dan ciri-ciri aerodinamik bagi mengurangkan seretan angin.
Bukan itu sahaja, Perodua juga menampilkan stereng EPS dan lampu LED yang mampu mengurangkan berat pada bahagian enjin. Malah Perodua juga menyarankan agar pemilik Axia menggunakan minyak enjin sintetik-penuh (0W-20 API SN) bagi meningkatkan keupayaan enjin.
Berkenaan dengan aspek keselamatannya, varian Advance ini telah menerima pengiktirafan empat bintang dalam ujian pelanggaran ASEAN NCAP. Jentera kompak ini dilengkapi dengan ABS, EBD, Bantuan Brek (BA) dua beg udara, ISOFIX, lapisan cermin solar & keselamatan, tali pinggang 3-poin bagi tempat duduk penumpang belakang, immobiliser dan kunci dengan kawalan jauh.
Namun secara konklusi, untuk memberikan kenyataan bahawa Axia merupakan EEV, maka pemanduan secara sederhana adalah lebih bersesuaian dengan prestasi sebenarnya.
Malah ia cukup sesuai untuk pemanduan bandar (urban ride), dengan kapasiti enjinnya dan saiznya yang comel itu. Untuk memarkir dan melalui lorong yang sempit, memang tidak ada masalah langsung. Begitu juga jika berada di kesesakan lalu lintas, senang untuk mencelah-celah di antara kenderaan lain.
Mengenai ukurannya, Axia bersaiz 3,640mm panjang, 1,620mm lebar dan 1,510mm tinggi, dan ternyata ia kelihatan lebih besar berbanding Viva. Dan bonus tambahan untuk Axia ialah ia memiliki ruang dalaman yang lebih luas terutamanya pada ruang kaki pada bahagian tempat duduk belakang. Malah ruang kargo Axia berkapasiti 260 liter dan ternyata lebih besar berbanding dengan Myvi.
Pada tempat duduk penumpang belakang juga cukup selesa dan mampu memuatkan kapasiti tiga penumpang dewasa bersaiz sederhana. Varian Advance juga dipadankan dengan tempat duduk pemandu separa-lekuk (semi-bucket) yang dibaluti kulit yang cukup selesa. Tempat duduk penumpang juga dibaluti kulit.
Papan pemuka Axia juga ringkas tetapi bagi varian Advance, ia dilengkapi dengan kombinasi meter iluminasi merah, kluster tengah dengan balutan kulit, roda stereng juga balutan kulit dengan jahitan merah yang turut ditampilkan bersama butang kawalan audio, sistem multimedia yang turut berfungsi sebagai navigasi dan empat pembesar suara.
Untuk varian ini juga, selain daripada pengesan undur, ia turut dilengkapi dengan pengesan sudut hadapan yang boleh membuatkan pemandu lebih peka jika jentera dihampiri/menghampiri sesuatu objek termasuklah penunggang motosikal. Bunyi ‘beep’ akan kedengaran sekali jika ia dapat mengesan objek pada jarak 60 cm. Dan bunyi ‘beep’ berganda pula pada jarak 30 cm.
Satu lagi elemen yang cukup menyenangkan dan sangat sesuai untuk pemandu wanita ialah dengan adanya cangkuk anti-ragut (anti-snatch hook) yang dipasang pada sisi sebelah kanan tempat duduk penumpang hadapan. Di mana anda boleh mencangkuk beg pada cangkuk berkenaan dan ia mempunyai klip penutup khas untuk mengelakkan beg anda diragut ketika berada di dalam kenderaan.
Di mana inovasi yang dilakukan oleh Perodua ini sangat relevan diimplementasikan memandangkan di negara kita ini terutamanya di kawasan bandar memang banyak berlaku kes pecah kenderaan sewaktu berhenti di lampu isyarat.
Cuma untuk penumpang di bahagian hadapan (terutamanya wanita), tiada cermin diletakkan pada bahagian dalam pelindung matahari. Ia hanya ada pada bahagian pemandu sahaja.
Melihat elemen luaran yang ditampilkan pada varian spesifikasi tertinggi ini, ia memang kelihatan lebih sporty dan ranggi. Termasuklah dengan reka bentuk bampar hadapan yang lebih berketerampilan, lampu utama projektor, gril hadapan dan skirt sisi kekemasan krom, spoiler belakang, lampu belakang kombinasi LED dan rim aloi bersaiz 14 inci yang dibaluti tayar Hankook 175/65.
Perodua Axia varian Advance ini ditawarkan pada harga RM42,130 (Solid) dan RM42,530 (Metalik), ia turut didatangkan dengan lima tahun jaminan atau 150,000 km (yang mana tiba terlebih dahulu).
Malah tidak ragu dikatakan, dengan harga yang begitu berpatutan (bermula pada RM24,600 bagi varian spesifikasi paling rendah), pemilikan Axia ini amat berbaloi terutamanya untuk pelajar kolej, graduan yang pertama kali membeli kenderaan sendiri atau pun anda yang mencari kereta kedua untuk urusan harian. Sememangnya Axia menepati cita rasa rakyat Malaysia yang mencari sebuah kenderaan yang mudah dikendalikan dan harga yang berpatutan.
Spesifikasi :
Enjin : 1KR-DE2 1.0 liter DOHC, 12V, Suntikan Bahan Api Elektronik (EFI)
Transmisi : Automatik 4-kelajuan
Kuasa maksimum : 49 kW @ 6,000 rpm
Tork maksimum : 90 Nm @ 3,600 rpm
Kapasiti tangki bahan api : 20.1 liter
Warna pilihan : Lava Red, Sunflower Yellow, Midnight Blue, Ebony Black, Glittering SIlver & Ivory White
1 Comment