McLaren MP4-12C kereta peronda polis terbaharu di Dubai
Selepas Lamborghini Aventador, Ferrari FF, Aston Martin, Bentley, Brabus G63 AMG, dan Chevy Camaro SS (sekadar menyebut beberapa model sahaja), baru-baru ini, pihak polis Dubai telah menambah satu lagi koleksi jentera mewah di dalam garaj kereta peronda mereka iaitu McLaren MP4-12C.
Nampak gayanya kerajaan Dubai yang sememangnya terkenal dengan lambakan kemewahan tidak kedekut mengeluarkan belanja yang besar semata-mata mahu memastikan kereta peronda mereka cukup berprestasi tinggi. Bayangkanlah mereka membelanjakan £170,000 seunit (atau pun RM922,398.92) untuk mendapatkan McLaren Mp4-12C itu!
Seperti mana kereta peronda mereka yang lain, McLaren MP4-12C ini turut dibaluti dengan warna putih dan hijau (yang merupakan warna rasmi bagi pasukan polis di sana) dengan terteranya nombor talian dan alamat laman sesawang rasmi pada sisi kerangkanya.
McLaren MP4-12C yang pertama kalinya dilancarkan pada tahun 2011 memang dikenali sebagai jentera dua pintu yang memiliki kelajuan luar biasa. Ia merupakan pencabar terdekat bagi Ferrari 458 Italia yang turut dikenali sebagai sebuah jentera prestasi tinggi yang dikagumi. Dengan ‘jantung’ 3.8 liter yang merupakan nadi utama bagi jentera ini, ia mampu dipacu daripada titik sifar sehingga 62 batu sejam dalam hanya 3.1 saat. Malah ia juga cukup senang mencapai kelajuan sehingga 190km/j!
Memang ciri-ciri inilah yang diperlukan oleh pasukan polis peronda Dubai bagi memudahkan lagi kelancaran kerja mereka terutamanya dalam mengekang kegiatan jenayah di negara tersebut. Apatah lagi Dubai sememangnya mempunyai begitu banyak supercar dan hypercar di jalan raya memandangkan rata-rata penduduknya memang mewah-mewah belaka. Agak mustahil jentera-jentera prestasi tinggi tersebut mampu dikejar oleh kereta peronda polis yang ‘biasa-biasa sahaja’. Jadi sudah tentu pihak berkuasa di sana memerlukan kereta peronda yang sama taraf dengan jentera-jentera luar biasa ini.Ops! Polis Dubai pun ada jentera yang paling berkuasa iaitu Bugatti Veyron! Ada beraniiiiiii???