Perodua & Daihatsu Motor mula membina kilang pembuatan enjin
Laporan BERNAMA petang ini menyebut, Perodua dan Daihatsu Motor Corporation Ltd Jepun telah memulakan pembinaan kilang pembuatan enjin di Sendayan TechValley, Negeri Sembilan.
Pembinaan kilang ini adalah sebahagian daripada rancangan memperluaskan perniagaan kedua-dua jenama ini di dalam pengeluaran enjin, komponen enjin dan jualan alat ganti.
Dengan kos bernilai RM600 juta, kilang ini dijangka siap dan bakal beroperasi pada pertengahan tahun 2016. Ia dijangka mampu mengeluarkan 140,000 unit enjin pelbagai kapasiti setahun.
Menurut Pengerusi Perodua Tan Sri Asmat Kamaludin, pembinaan kilang ini menunjukkan keyakinan dalam pertumbuhan kedua-dua pasaran domestik dan global. Di samping itu, ia juga menunjukkan komitmen Perodua dalam menjadikan Malaysia sebagai hab automotif untuk rantau Asean.
Malah Perodua turut mengatakan ia merupakan kemudahan untuk pihaknya meluaskan industri automotif. Dalam masa yang sama, memastikan kos pengeluaran tetap rendah bagi meningkatkan pulangan.
Nama rasmi bagi kilang ini masih belum diumumkan. Namun lokasi ini dipilih kerana ia dianggap strategi memandangkan Sendayan TechValley menawarkan pakej yang paling kompetitif dari segi harga tanah, insentif dan lebih mudah mengedarkan produk yang dihasilkan, baik untuk kegunaan domestik mahupun serantau.
Tambahnya lagi, Perodua yakin sebahagian besar permintaan untuk bahagian enjin dan komponen adalah dari Komuniti Ekonomi Asean (AEC) yang merupakan pasaran tunggal di rantau Asia Tenggara yang akan wujud tidak lama lagi.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Aminar Rashid Salleh pula berkata, AEC menawarkan potensi cerah untuk semua sektor, terutama automotif, dengan pekerja dan barangan boleh bergerak bebas dalam zon ekonomi paling dinamik di dunia.