Honda City Hybrid telah diperkenalkan di Jepun & dikenali sebagai Honda Grace
Honda telah memperkenalkan model City Hybrid di pasaran Jepun, tetapi dengan nama Honda Grace. Ia merupakan model sedan hibrid yang pernah diumumkan di Tokyo Motor Show 2013, dan juga telah disahkan bakal memasuk pasaran Malaysia.
Telah didedahkan di laman web domestik Honda sendiri, model ini kelihatan mirip dengan Honda City 2014. Walau bagaimana pun, ia tidak ketinggalan menerapkan beberapa elemen tersendiri, termasuklah bar berwarna biru pada bahagian bawah gril hadapan yang menjadi simbol kebanyakan model hibrid Honda, lampu utama projektor-berkembar LED, lampu belakang LED dan juga spoiler bersaiz kecil di bahagian bonet belakang.
Untuk varian tertinggi, ia juga akan dipadankan dengan rim aloi bersaiz 16 inci, sementara varian lain hanya 15 inci. Selain itu, ia juga dipadankan dengan bilah pengilap cermin jenis aeroblade.
Pada bahagian kabin pula, ia menerima padanan kluster instrumen baharu serta tombol gear kecil seperti mana yang ditampilkan pada model Jazz Hybrid.
Tidak banyak perincian yang didedahkan, namun difahamkan penjana kuasanya menggunakan unit Sport Hybrid i-DCD (Intelligent Dual Clutch Drive). Lebih kurang sama seperti yang digunakan pada model Jazz Hybrid dan Vezel/HR-V Hybrid, iaitu menggunakan enjin 1.5 liter i-VTEC Atkinson-cycle (110 PS/134 Nm) dan digabungkan dengan motor elektrik dengan kuasa 29.5 PS dan tork 160 Nm. Ia juga dipadankan dengan transmisi klac-berkembar tujuh kelajuan.
Harganya juga belum dinyatakan dan ia dijangka bakal memasuki bilik pameran di Jepun pada awal Disember ini.
Manakala bagi pasaran Malaysia, model pemasangan tempatan (CKD) bagi City Hybrid ini akan menikmati keistimewaan bebas cukai, yang mungkin berakhir penghujung 2015 mengikut peraturan sekarang.