Lebih 1,500 saman dikeluarkan atas kesalahan nombor pendaftaran, lampu strob & lampu HID
Sejak melancarkan operasi penguatkuasaan melibatkan nombor pendaftaran, lampu strob dan lampu HIDsecara besar-besaran oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada 1 November lalu, sehingga kini lebih 1,500 saman telah dikeluarkan dalam tempoh dua hari pertama.
Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad, saman paling tinggi dikeluarkan ialah di Johor dengan jumlah 356, Selangor (207), Pahang (167) dan Terengganu (136). Di mana lebih 50 peratus daripada saman yang dikeluarkan itu melibatkan kesalahan nombor pendaftaran.
Operasi ini telah pun digerakkan di seluruh negara, merangkumi 104 lokasi, dengan 211 pasukan penguatkuasa dan jumlah keseluruhan melibatkan lebih 1,500 anggota. Malah operasi ini juga diharap mampu mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya.
Ismail memaklumkan bagi nombor pendaftaran, lampu strob dan lampu HID, JPJ telah memberi tempoh sehingga 31 Oktober lalu kepada pengguna untuk menukar kepada jenis dan spesifikasi yang dibenarkan.
Spesifikasi lampu HID menggunakan gas Xenon, bukan filamen, tidak dibenarkan langsung kecuali jika perubahan dibuat kepada keseluruhan sistem pencahayaan yang diberi akreditasi Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim), dalam kes tertentu.
Bagi kesalahan lampu HID, pesalah boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara bagi tempoh tidak lebih 6 bulan di bawah Seksyen 119(1) APJ 1987.
Mana-mana lampu strob atau ‘beacon’ berwarna juga tidak dibenarkan bagi kenderaan persendirian dan hanya dibenarkan untuk kenderaan polis, JPJ, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan ambulans.
Operasi bersepadu ini dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).