Mitsubishi bakal membangunkan model pengganti Lancer
Mitsubishi dikhabarkan akan membangunkan model pengganti Lancer dengan kerjasama dan perkongsian platform bersama Renault. Di mana pada setahun yang lalu, Mitsubishi dan Renault-Nissan telah menandatangani perjanjian usaha sama untuk berkongsi produk, teknologi dan kapasiti pembangunan.
Untuk kerjasama ini, Mitsubishi akan memperkenalkan model sedan kompak berdasarkan platform Renault atau Nissan bagi menggantikan model Lancer yang dianggap sebagai ‘penjualan kurang memberangsangkan’. Walau bagaimana pun, kedua-dua pengeluar kenderaan terkenal ini belum memutuskan untuk menggunakan platform Renault atau pun Nissan kerana masih dalam perbincangan di mana lokasi produksi tersebut bakal dilaksanakan.
Malah Mitsubishi juga belum membuat pengumuman adakah sedan kompak tersebut akan menjadi model global atau pun sekadar untuk pasaran sesetengah negara termasuk Eropah.
Dalam masa yang sama, Mitsubishi juga dikatakan bakal menghasilkan model kenderaan sedan bersaiz sederhana yang menggunakan platform Renault Latitude yang mungkin akan dikomersialkan di Amerika Syarikat dan Kanada. Di mana model sedan bersaiz sederhana ini akan dipasang oleh Renault Samsung di Busan, Korea Selatan dan dijadualkan bakal dipasarkan dalam tempoh 2-3 tahun akan datang, mengikut kenyataan yang dikeluarkan oleh CEO Mitsubishi, Osamu Masuko.