Nissan Serena S-Hybrid versi CKD tidak kurang hebatnya
23 Julai 2013, Nissan telah melancarkan MPV Serena S-Hybrid yang dibawa masuk dari Jepun. Model CBU ini jelas mudah menerima sambutan ramai dan ternyata ia hadir tepat pada masanya. Apatah lagi ketika orang ramai mula mencari sebuah kenderaan yang memberikan penjimatan api efisien dan sesuai sebagai pengangkutan seisi keluarga.
Lebih setahun di pasaran, Nissan menerusi Edaran Tan Chong Motor (ETCM) memperkenalkan wajah baharu bagi Serena S-Hybrid, yang dipasang di Malaysia. Sesuai dengan popularitinya dalam kalangan mereka yang sudah berkeluarga, MPV hibrid pertama di Malaysia ini turut menjalani proses penggayaan semula pada bahagian luaran dan dalamannya agar tampil lebih bergaya dan dinamik. Dua gred ditawarkan iaitu Premium Highway Star dan Highway Star.
Pada hari yang sama pelancarannya iaitu 4 Nov yang lalu, media permotoran tempatan turut berpeluang memandu uji MPV ini seharian, dengan memandunya dari Kota Damansara hingga ke Ayer Keroh, Melaka. Walau pun pemanduan secara bergilir-gilir (pergi-balik) bersama dua lagi rakan media, namun sesi pandu uji ini cukup membantu memberikan ulasan mengenai MPV ini.
Diakui, Serena S-Hybrid versi CKD dan CBU tidak banyak perbezaannya jika bercerita dari sudut pemanduan dan pengendaliannya. Apa yang membezakan dua versi ini hanyalah sedikit penambahan pada imej luaran dan elemen dalamannya.
Secara mekanikalnya, tiada perubahan di antara model pemasangan Jepun dan Malaysia. Serena S-Hybrid versi Malaysia ini masih menggunakan enjin petrol Nissan MR20DD 2.0 liter empat-silinder DOHC dengan sistem pancitan terus. Hasil gabungan kotak gear XTRONIC CVT generasi terkini dengan Adaptive Shift Control (ASC), ia mampu memberikan kuasa sehingga 147 PS pada 5,600 rpm dan tork maksimum 210 Nm pada 4,400 rpm.
Seperti mana ulasan penulis mengenai jentera ini ketika memandu uji versi CBU dulu, enjin yang dipadankan ini masih berkeupayaan memberikan prestasi yang sederhana, memuaskan dan tidak mengecewakan. Ia masih mampu dipecut dalam kelajuan melebihi 150 km/j dengan mudah, biar pun memiliki enjin yang berkapasiti sederhana dan berkerangka besar.
Begitu juga ketika melalui jalan berbukit, memang MPV ini terasa sedikit berat dan perlu memberikan lebihan tekanan pada pedal pendikit. Ini perkara normal buat kenderaan sebegini, apatah lagi ia memiliki berat 1,699kg.
Walau pun terasa agak sedikit berat, enjin ini tidak teragak-agak untuk menghamburkan tenaganya. Dan apabila sudah berada pada paras kelajuan yang diingini, MPV ini terus meluncur lancar, meninggalkan ‘rasa berat’ pada peringkat anda menekan pedal pendikit secara berlebihan.
Untungnya ia sebuah MPV hibrid, masih mampu memberikan prestasi yang memuaskan, dalam masa yang sama gabungan enjin dan transmisi ini dikatakan berupaya berfungsi dengan efisien untuk menawarkan kuasa tork yang tinggi pada kelajuan enjin rendah.
Tapi jika berada dalam kelajuan yang tinggi, ia mungkin bakal mempengaruhi penggunaan bahan api jika anda memijak pedal pendikit secara berlebihan bagi mengerahkan enjinnya menghamburkan kuasa yang diingini.
Apa pun, menurut Nissan, MPV ini mampu mengurangkan emisi serta mencapai bacaan 15.2km setiap liter dalam ujian Japan JC08. Di mana dengan adanya sistem hibrid ini, motor eletrik ECO bertindak sebagai sumber kuasa sokongan untuk membantu enjin dan proses menjana semula tenaga. Sistem hibrid ini juga mempunyai satu unit bateri ekstra untuk menyimpan kuasa tambahan.
Sistem hibrid ini juga turut menampilkan sistem Idling Stop yang mematikan enjin secara automatik apabila MPV ini berhenti dalam kesesakan lalu lintas atau pun lampu isyarat. Di mana enjin akan dihidupkan semula dalam tempoh 0.3 saat apabila pedal brek dilepaskan.
Namun adakalanya penulis kurang selesa dengan sistem melahu ini kerana apabila enjin dihidupkan semula, terasa sedikit kesan sentakan. Kadangkala boleh bikin terperanjat, apa pun ia boleh mengelakkan kita daripada terleka ketika berhenti seketika dan perlu kembali memulakan pemanduan.
Dengan suspensi topang Independent MacPherson untuk bahagian hadapan dan gandar Torsion bagi belakang banyak membantu memberikan kemantapan dan kestabilan yang lebih memuaskan terhadap pengendalian MPV ini. Biar pun ia sebuah MPV, namun kesan olengannya terasa agak minima biar pun ketika dipacu dalam kelajuan yang sedikit tinggi.
Namun, masih perlu berhati-hati jika melalui jalan berselekoh, pastinya kelajuan harus bersesuaian dengan pemanduan.
Memiliki ukuran 4,770mm panjang, ketinggian 1,865mm, dan selebar 1,735mm, sebenarnya tidaklah sukar untuk mengendalikan Serena S-Hybrid. Malah jika mahu membuat pusingan U, ia mampu memberikan jejeri pusingan paling minimum sehingga 5.7m. Cuma, mungkin agak sedikit sukar jika terpaksa melalui lorong yang sempit dan ketika mahu memarkirnya.
Jika model CBU tiada ruang tayar simpanan dan hanya disediakan kit penampal tayar dan pam angin yang boleh digunakan jika tayar pancit, namun untuk Serena S-Hybrid pemasangan tempatan ini mempunyai tempat tayar simpanan yang terletak di bawah tempat duduk penumpang hadapan. Ini mampu mengurangkan kegusaran buat pemiliknya jika berhadapan dengan insiden tayar pancit di tengah jalan.
Untuk aspek keselamatan pula, Serena S-Hybrid ini turut dilengkapi dengan ABS, EBD, BA, Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Bantuan Mendaki Bukit (HSA) dan dua beg udara (untuk bahagian pemandu dan penumpang di sebelah).
Bercerita mengenai imejnya, selain tiada perubahan dari sudut mekanikal, bentuk kerangkanya juga tidak berubah. Cuma ia telah ditampilkan dengan beberapa ciri baharu termasuklah gril hadapan krom tiga dimensi yang telah direka semula, lampu utama LED yang pertama dalam kelasnya dengan lampu signatur LED, bampar depan yang dipasang bersama lampu kabus, serta rekaan bonet dan fender baharu.
Manakala pada bahagian belakang, lampu kombinasi LED digayakan dengan garis berbentuk S yang bergaya. Ia bukan sahaja meningkatkan pandangan bagi pemandu yang menghampiri dari belakang, tetapi juga menambah sentuhan elegan pada gaya luarannya. Penampilan itu disempurnakan lagi dengan acuan sisi baharu dan rim aloi bersaiz 16 inci.
Bagi varian Premium Highway Star, terdapat elemen tambahan lain bagi memberikan imej yang lebih sporty, termasuklah spoiler bumbung dan visor pintu. Ia juga dilengkapi dengan V-Kool Elite Security, Armorcoat dan Solar Gard.
Lain-lain elemen yang dikekalkan, antaranya pintu sisi berkonsep pintu gelongsor yang dibuka secara elektronik dengan menggunakan kunci I-Key, butang yang diletakkan pada papan pemuka hadapan dan juga butang kecil yang terdapat pada panel pintu sisi.
Dengan ruang kapasiti yang mampu memuatkan lapan penumpang dalam satu masa, sudah tentu ruang dalaman yang luas dan fleksibel menjadi daya tarikan utama. Bagi MPV dengan harga sebegini, kelebihan ruang dalaman, keselesaan bila berada di dalamnya serta fleksibiliti yang ditonjolkan menjadi pakej paling berbaloi untuk memiliki Serena S-Hybrid ini.
Di mana ia masih mengekalkan 14 konfigurasi tempat duduk dengan tempat duduk barisan kedua dan ketiga boleh dilipat secara rata, dianjak ke bahagian tepi dan pelbagai lagi cara untuk mengoptimakan ruangnya.
Malah tempat perehat tangan di bahagian tengah antara tempat duduk pemandu dan penumpang di sebelah boleh ditolak ke bahagian tempat duduk barisan kedua untuk dijadikan tempat duduk tambahan. Ia dikenali sebagai tempat duduk pintar.
Manakala bahagian kabin bagi Premium Highway Star juga telah ditambah baik dengan menawarkan sentuhan sofistikated menerusi gabungan tempat duduk balutan kulit, serta unit utama yang terdiri daripada navigasi multimedia berukuran 6.5 inci bersama kamera pandang belakang, pemain DVD, sambungan iPod, USB dan Bluetooth serta panel LCD bersaiz 10.1 inci yang dipasang pada bumbung.
Bagi papan pemukanya, juga tidak ada perubahan, ia masih menampilkan Eco Driver Navigator bagi memberikan panduan kepada pemandu untuk memaksimumkan kecekapan bahan api, butang penghidup enjin, butang kawalan kelajuan pada roda stereng dan kawalan suhu automatik.
Nissan Serena S-Hybrid ini ditawarkan pada harga bermula RM149,500 untuk model Premium Highway Star dan RM138,800 bagi gred Highway Star (harga di atas jalan termasuk insurans di Semenanjung Malaysia). Ia turut hadir bersama jaminan selama tiga tahun atau perbatuan sejauh 100,000km, mana-mana tiba dahulu.
Dengan harga yang ternyata agak sederhana bagi sebuah MPV, ternyata pemilikan bagi Serena S-Hybrid ini dilihat berbaloi. Ia bukan setakat harga yang berpatutan, malahan padanan enjin hibrid dan ruang dalaman yang besar dan selesa pastinya menjadi daya tarikan utama bagi model ini.
Spesifikasi :
Enjin :2.0L 4-silinder, 16-valve, DOHC dengan Twin CVTC, Sistem Pancitan Terus
Transmisi : Xtronic CVT dengan Adaptive Shift Control (ASC)
Kuasa maksimum : 147 PS @ 5,600 rpm
Tork maksimum : 210 Nm @ 4,400 rpm
Kapasiti tangki bahan api : 60 liter
Tayar : 195/60 R16
Pilihan warna : Garnet Red, Graphite Blue, Black, Brilliant White & Tungsten Silver