Ford Fiesta ST akan muncul di bilik pameran hujung bulan ini
Penghujung bulan yang lalu, Ford Malaysia telah pun mempromosikan model Fiesta ST menerusi laman web rasmi mereka. Dan hari ini, Ford mengesahkan bahawa Fiesta ST bakal muncul di bilik pameran bermula hujung bulan ini. Malah Fiesta ST ini akan ditawarkan pada harga RM149,888 seunit. Pembeliannya akan didatangkan dengan waranti tiga tahun/100,000 km.
Tampil dengan revolusi enjin 1.6L EcoBoost bersama kombinasi pengecas turbo, Ford Fiesta ST ini mampu meledakkan kuasa sehingga 182 PS dan tork sehingga 240 Nm. Ia turut dipadankan dengan transmisi manual B6 enam-kelajuan.
Jentera ini juga boleh dipacu dari titik sifar sehingga 100 km/j dalam hanya 6.9 saat dan kelajuan maksimum ialah 224 km/j. Dengan kombinasi ini membuatkan Fiesta ST antara model hot hatch yang terpantas dan menggunakan bahan api yang efisien.
Dalam masa yang sama, Ford turut mengumumkan bahawa jualan pada Oktober meningkat sebanyak dua peratus berbanding bulan lalu kepada 1,209 unit. Peningkatan itu didorong oleh permintaan yang terus kukuh terhadap model Ranger, EcoSport, Kuga dan Fiesta.
Jualan Ford pada tahun ini sehingga kini telah menokok sebanyak 28 peratus kepada 11,426 unit. Sekali gus meletakkan syarikat di landasan terbaik untuk mencatat rekod jualan tahunan di Malaysia.
Prestasi jualan bulan Oktober diketuai oleh trak pikap Ranger yang versatil dengan peningkatan jualan sebanyak 11 peratus berbanding bulan sebelumnya kepada 829 unit. Sehingga Oktober, jualan Ranger melonjak sebanyak 46 peratus kepada 6,831unit berikutan permintaan yang memberangsangkan terhadap semua rangkaian modelnya.
Fiesta baharu yang sporty pula mencatatkan jualan runcit sebanyak 159 unit pada Oktober. Ia membantu meningkatkan jualan pada tahun tahun ini sehingga kini sebanyak 28 peratus kepada 2,750 unit.
Pemintaan kukuh terhadap Fiesta dipacu oleh enjin 1.0L EcoBoost yang berprestasi tinggi. Enjin itu telah memenangi anugerah enjin terbaik antarabangsa pada tahun ini untuk tiga tahun berturut-turut. Fiesta turut dijana oleh varian enjin global Ford, 1.5L TiVCT.
SUV urban kompak, EcoSport serba baharu terus mencatatkan peningkatan selepas dua bulan berada di pasaran dengan peningkatan jualan sebanyak lima peratus berbanding bulan September kepada 86 unit.
“EcoSport serba baharu membantu mendefinisikan satu segmen kenderaan yang baru di pasaran. Ia terbukti popular dalam kalangan pelanggan yang menghargai alternatif untuk kereta kecil,” jelas Westerman.
Ford Fiesta ST