Volkswagen dedah enjin diesel 2.0 liter dengan pengecas turbo elektrik
Volkswagen (VW) telah pun memperkenalkan enjin berkapasiti tinggi iaitu 2.0 liter turbodiesel empat-silinder pada pembentangan teknikal yang berlangsung di Wolfsburg, Jerman.
Beberapa bulan lalu, VW telah menampilkan model serba baharu Passat dengan enjin 2.0 liter TDI bi-turbo yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 240 hp. Di mana enjin yang sama ini telah diberi penambah baikan dengan menampilkan pengecas turbo elektrik yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 272 hp.
Buat setakat ini, daya kilas atau tork masih belum diberitahu secara terperinci tetapi dijangka mempunyai digit yang lebih besar, kemungkinan melebihi 500 Nm yang dikuasai oleh Passat.
Pertambahan kuasa itu bukan hanya diimplementasikan oleh pengecas turbo elektrik berkenaan, tetapi turut disokong dengan sistem pemasaan injap boleh laras (VVT) yang turut ditampilkan dan juga sistem suntikan common rail Piezo yang memberikan tekanan meningkat sehingga 2,500 bar.
Dalam masa yang sama, VW turut berkongsi sedikit perincian mengenai transmisi DGS 10-kelajuan yang bakal membantu memberikan terjahan tork sehingga 550 Nm. Dengan kod nama DQ551, ia dianggap sebagai ‘evolusi bagi unit enam-kelajuan’ dan bakal memberikan penjimatan bahan api yang lebih efisien.