Ford Everest muncul dalam Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Beijing
Ford baru sahaja memperkenalkan model baharu Ford Everest di Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) yang berlangsung di Beijing.
Model baharu ini adalah untuk pasaran Asia-Pasifik, yang telah direka bagi menyesuaikan diri dengan pelbagai keadaan jalan dan mampu tampil dengan keupayaan yang lebih jitu.
Bergantung pada pasaran spesifik, Ford menawarkan enjin termasuklah 2.0 liter EcoBoost turbo dengan kuasa 179 kW dan 353 Nm serta Duratorq turbodiesel 2.2 liter (110 kW/375 Nm) dan 3.2 liter (147 kW/470 Nm) yang bakal dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan.
Ia bakal ditawarkan untuk versi AWD dan 2WD, kedua-duanya diyakini memiliki kestabilan, kemantapan dan keteguhan yang lebih jitu terutamanya di dalam keupayaan meredahi laluan off-road.
Pada bahagian kabinnya, ia memiliki tujuh ruang tempat duduk dengan barisan kedua (60:40) serta ketiga (50:50) yang boleh dibaringkan sepenuhnya bagi memberikan lebihan ruang kapasiti sehingga 2010 liter.
Tempat duduk hadapan memiliki suhu haba dan boleh dilaraskan dengan lapan cara secara elektronik. Pada barisan tempat duduk kedua, ia juga menampilkan kawalan suhu. Manakala bagi tempat duduk barisan ketiga hanya memiliki corong udara.
Selain itu, ia turut ditampilkan dengan sistem infotainmen Sync 2 dengan skrin sesentuh bersaiz lapan inci, kawalan bunyi aktif, corong aliran udara dengan kekemasan krom satin, kekemasan kulit pada papan pemuka, sistem audio dengan 10 pembesar suara, sambungan Bluetooth dan teknologi Wifi hotspot bagi telefon pintar, pemacu USB, pemain CD, slot kad SD dan bumbung panoramik sebagai pilihan.
Ia juga menampilkan elemen keselamatan elektronik termasuklah brek kecemasan autonomi, paparan titik buta, sistem pertukaran laluan, kamera undur, pengesan hadapan dan belakang bagi memudahkan kenderaan diparkir, sistem pemantauan tekanan tayar dan tujuh beg udara.
Model ini akan dilancarkan di Australia terlebih dahulu sebelum memasuki pasaran Asia dan Afrika mulai awal tahun hadapan. Untuk pasaran Asia-Pasifik, Ford Everest ini akan dipasang di Thailand, manakala China akan memasangnya sendiri di negaranya. Buat masa ini, Ford masih belum menetapkan lagi harganya.