Hyundai Sonata serba baharu bakal dilancarkan tidak lama lagi
Hyundai Malaysia telah mula menghebahkan kehadiran model serba baharu Hyundai Sonata di FB rasmi mereka hari ini. Ia dijangka bakal dilancarkan pada awal Disember ini.
Model generasi ketujuh LF Sonata ini telah pun melakukan penampilan perdana peringkat global di Korea Selatan pada Mac lalu sebelum dipertontonkan di New York Auto Show 2014 sebulan selepas itu.
Menurut Hyundai, model serba baharu Sonata ini diilhamkan berdasarkan rekaan dan teknologi yang diaplikasikan oleh Hyundai Genesis. Ia juga menampilkan garisan luaran yang kurang menonjol pada rekaan kerangkanya dengan menerapkan falsafah ‘Fluidic Sculpture 2.0′. Malah Hyundai turut mengetengahkan konsep rekaan yang digelar ‘Inner Force’ dengan tema ‘rekaan penuh estetik dan berkeyakinan’.
Walau bagaimana pun, Hyundai Malaysia belum mengesahkan lebih terperinci mengenai Sonata ini. Tetapi bagi pasaran Korea Selatan, ia bakal hadir dengan tiga varian iaitu 2.0-liter CVVL (166 hp/ tork 148 lb-ft), 2.4-liter GDi (190 hp/ tork 182 lb-ft) dan 2.0-liter LPi (149 hp/ tork 143 lb-ft). Ia turut dipadankan dengan kotak gear automatik enam kelajuan serta manual juga enam kelajuan.