Proton Suprima S tembusi pasaran Brunei & Thailand
Selepas memasuki pasaran Australia dan Indonesia pada Oktober lalu, kini tibalah giliran Brunei serta Thailand pula. Proton Suprima S telah dilancarkan di Brunei pada 19 November yang lalu. Manakala bagi pasaran Thailand pula, ia dilancarkan pada 28 November.
Misi PROTON Holdings Berhad (PROTON) dalam memperluaskan pasaran Suprima S ke negara lain, khususnya Asia terlebih dahulu, kerana yakin ia bakal menerima sambutan yang menggalakkan memandangkan model terbaharu ini dilengkapi dengan pelbagai elemen yang tidak pernah diterapkan pada mana-mana model lain PROTON sebelumnya.
Menurut Ketua Pegawai Operasi (Komersil) PROTON, Hisham Othman, “Proton Suprima S telah menerima pengiktirafan lima bintang daripada Australasian New Car Assessment Program (ANCAP) di mana ia menjadi penanda aras bagi PROTON yang sangat mengutamakan standard dan kualiti untuk menghasilkan produk bermutu tinggi untuk pengguna.”
Di Thailand, model hatchback ini telah pun dilancarkan sempena dengan berlangsungnya Thailand International Motor Expo 2013 di Bangkok. Ditawarkan dengan varian Premium pada harga atas jalan THB805,000, Suprima S turut dijangka bakal menerima sambutan memberangsangkan seperti mana model PROTON yang lain turut dijual di pasaran Thailand.
Untuk pasaran Brunei juga menerima varian yang sama, cuma harga jualannya tidak dinyatakan oleh pihak PROTON di dalam kenyataan akhbarnya.
Suprima S dijanakan oleh enjin turbo 1.6 liter dengan menampilkan kotak gear ProTronic CVT tujuh kelajuan. Model hatchback ini boleh menghamburkan kuasa maksimum 140PS pada 5,000rpm dan tujahan tork sehingga 205NM pada 2,000 hingga 4,000rpm. Seperti mana kebanyakan model PROTON yang lain, Suprima S turut dipadankan dengan pacuan dan pengendalian LOTUS yang pastinya memberikan lebih kepuasan di dalam pemanduan.
Elemen lain yang turut ditampilkan pada Suprima S ialah Sistem Pengagihan Daya Brek Elektronik (EBD), sistem Anti-Brek Kunci (ABS), Bantuan Mendaki Bukit (HHA,) Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Kawalan Cengkaman (TCS), pra-regangan dan pengehad bebanan tali pinggang keledar, kamera undur, kerusi balutan kulit, butang penghidup enjin, pedal penukar gear dan banyak lagi.