Toyota Prius C facelift hanya menerima suntikan minima
Jika di Malaysia, harga baharu bagi Toyota Prius C ialah RM153,170, namun untuk pasaran US, Toyota baru sahaja mengumumkan model Prius C 2015 bakal dipasarkan di USA pada harga US$19,080 (RM64,000). Ia diumumkan sebaik sahaja Toyota memperkenalkan model Prius C versi 2015 yang hanya menerima suntikan minima sahaja.
Untuk bahagian luaran, ia tidak banyak berbeza berbanding dengan model sebelumnya, melainkan pada bahagian hadapannya telah diberi penambah baikan sedikit perubahan dengan penampilan lampu utama yang lebih cerah, bampar dan lampu belakang dengan rekaan semula, antera sirip jerung dan tiga warna kerangka yang lebih segar iaitu Electric Lime Metallic, Tangerine Splash Pearl dan Sparkling Sea Metallic.
Manakala bagi ruang kabin, penggunaan material yang lebih premium, menampilkan elemen teknologi dan menurunkan tahap bunyi bising enjin, getaran dan kekasaran (NVH).
Seperti model sebelum ini, Prius C ini turut dijanakan oleh enjin 1.5 liter empat-silinder yang mampu memberikan kuasa 73 hp dan tork 111 Nm. Ia digabungkan dengan motor elektrik yang mampu menyalurkan kuasa sehingga 99 hp, manakala pek bateri nickel-metal pula dipasang di bawah tempat duduk penumpang belakang.