Kia KX3 ditampilkan di Guangzhou Auto Show
Selepas ada sebuah laman web menyebarkan berita dan foto mengenainya baru-baru ini, Kia telah pun menampilkan model konsep Kia KX3 di Guangzhou Auto Show, China. Ini merupakan model eksklusif buat pasaran China yang dibangunkan secara kerjasama dengan syarikat Dongfeng Yueda Kia (DYK).
SUV ini tampil dengan ukuran 4,260mm panjang, 1,765 mm lebar, 1,630 tinggi dan jarak roda 2,590 mm serta memiliki kapasiti 400 liter bagi ruang kargo. Ia boleh dikatakan sebagai ‘adik’ kepada model Sorento.
Kia KX3 ini tampil dengan gril hidung harimau dengan lingkaran krom serta disambungkan pada lampu utama LED.
Menggunakan enjin 1.6 liter pengecas turbo sebagai penjana kuasa yang dipadankan dengan kotak gear klac-berkembar tujuh-kelajuan yang menghantar kuasa terus ke kedua-dua gandar.
Kia juga mendakwa, mereka telah membangunkan casis bagi kenderaan ini dengan menggunakan keluli tegangan ultra tinggi bagi memberikan kualiti yang terbaik untuk mendapatkan pengiktirafan lima bintang dalam ujian pelanggaran C-NCAP.
Buat setakat ini, Kia masih belum mendedahkan lebih terperinci mengenai KX3 ini termasuk foto dan elemen bahagian kabinnya. Namun menurut Kia, bahagian kabinnya mampu memberikan keselesaan yang optimum buat penumpang. Malah ia juga turut menampilkan teknologi sambungan terkini bagi menyokong penggunaan telefon pintar.