Mazda6 2016 mahu singkir imej sedan yang membosankan
Pentas Los Angeles Auto Show turut menjadi saksi penampilan model Mazda6 2016 yang menerima sedikit perubahan bagi menampakkan imej yang lebih segar.
Walau pun imej pada model sedia ada boleh dikatakan menawan, namun Mazda ingin menampilkan sedikit kelainan untuk model versi 2016. Dengan menampilkan rekaan gril yang dipertingkatkan dan penggayaan semula pada lampu hadapan serta lampu belakang, membuatkan Mazda6 nampak lebih segar.
Selain itu, Mazda6 turut menampilkan antena sirip jerung, dan rim aloi bersaiz 19 inci dengan kekemasan dua tona. Menjadi misi Mazda untuk menyingkirkan imej sedan yang membosan, lantas eksperimen dilakukan terhadap model Mazda6 ini.
Tidak terlepas memberikan perubahan pada bahagian kabin yang lebih signifikan, Mazda6 turut menerima padanan papan pemuka baharu dengan skrin paparan tersendiri bersaiz tujuh-inci. Malah juga menampilkan konsol tengah baharu, tempat duduk yang dipertingkatkan dengan upholstery terkini.
Untuk pasaran USA, Mazda6 ini dijanakan oleh enjin petrol 2.5 liter SKYACTIV-G yang mampu menghasilkan 184 hp dan tork 250 Nm. Ia juga dipadankan dengan transmisi automatik SKYACTIV-Drive enam-kelajuan yang berkeupayaan menghantar kuasa ke pacuan tayar hadapan.