Kia Sorento 2016 turut warnai pentas LA Auto Show
Jika Kia Sorento 2015 diperkenalkan di Korea Selatan pada 29 Ogos yang lalu, kali ini Kia telah ‘meminjam’ pentas Los Angeles Auto Show yang sedang berlangsung untuk menampilkan model Sorento 2016 pula.
Walau pun menayangkan model daripada spesifikasi USA ini, namun difahamkan ia juga bakal dipasarkan di Eropah dan Asia walau pun menampilkan sedikit kelainan pada identitinya.
Bagi model spesifikasi USA ini, ia hadir dengan gril hidung-harimau dengan paten berlian tiga dimensi, lampu utama melunjur ke belakang, bumbung dengan garisan landai dan kekemasan krom pada bahagian bampar hadapan, spoiler belakang dan rim aloi bersaiz 19 inci.
Bahagian kabinnya juga diperkemaskinikan dengan gaya yang lebih elegan termasuklah menampilkan kekemasan kayuan, sistem infotainmen lengkap dengan skrin sesentuh bersaiz 4.3 inci, tempat duduk upholstery balutan kulit Nappa berkualiti tinggi, tempat duduk hadapan dengan haba panas, bumbung panoramik, sistem audio dengan 12 pembesar suara dan sistem infotainmen UVO dengan paparan bersaiz lapan-inci.
Bagi penjana kuasa, ia akan menawarkan tiga pilihan enjin iaitu 2.4 liter GDI empat-silinder (185 hp/241 Nm), 2.0 liter pengecas turbo GDI empat-silinder (240 hp/354 Nm) dan 3.3 liter GDI V6 (290 hp/341 Nm). Enjin ini akan dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan yang mampu menghantar kuasa pada sistem pacuan empat-roda.