Honda HR-V 2016 versi USA menderu dengan enjin 1.8L
Memperhebatkan lagi pasaran di USA, Honda telah pun memperkenalkan model HR-V 2016 di pentas Los Angeles Auto Show. Dijangka bakal mula dijual pada awal tahun hadapan, model crossover ini bakal memberikan persaingan sengit buat pencabar terdekatnya termasuk Chevrolet Trax dan Mazda CX-3.
Dengan gaya yang lebih menawan, HR-V tampil dengan rekaan tersendiri termasuk padanan gril bersaiz besar dan juga lampu utama melunjur ke belakang. Bukan itu sahaja, model crossover ini turut memiliki kerangka yang lebih berdinamik dan garisan bumbung yang lebih sporty.
Pada bahagian kabin pula, ia telah menampilkan sentuhan plastik lembut, kekemasan krom dan piano black. Honda turut mengetengahkan tempat duduk barisan kedua “Magic Seat” dan mendakwa kabinnya memiliki “ruang lebih luas dan versatil dalam kelasnya”. Malah ia juga memiliki ruang kargo yang luas iaitu 688 liter dan boleh ditambah menjadi 1665 liter jika tempat duduk belakang dibaringkan.
Walau pun tidak memberikan pendedahan yang lebih terperinci, namun Honda telah mengesahkan HR-V ini dilengkapi dengan kamera undur, rim aloi, roda stereng telescoping dan banyak lagi. Manakala bagi varian spesifikasi tertinggi pula ditawarkan dengan beberapa elemen tambahan termasuklah tempat duduk upholstery kulit dan sistem infotainmen dengan skrin sesentuh bersaiz tujuh-inci.
Untuk pasaran US, HR-V akan dijanakan oleh enjin 1.8 liter empat-silinder yang mampu memberikan kuasa 138 hp dan tork 172 Nm. Ia akan dipadankan dengan transmisi manual enam-kelajuan atau pilihan CVT yang didatangkan dengan pacuan semua-roda.