Mitsubishi Pajero 2015 lebih tangkas, mantap & versatil
Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah pun memperkenalkan model Mitsubishi Pajero 2015 hari ini. Tampil dengan imej yang diberi suntikan lebih segar, rekaan dalaman dan luaran Pajero ini kelihatan tangkas, mantap dan versatil. Malah turut menyelitkan sedikit sentuhan kemewahan terutamanya pada rekaan kabinnya.
Didatangkan dengan bampar hadapan rekaan baharu yang disambungkan pada gril yang nampak lebih maskulin, lampu pencahayaan siang (DRL), dan lampu kabus yang dilingkari dengan krom. Pada bahagian belakangnya pula, penutup tayar simpanan turut diberi penambah baikan yang lebih kemas.
Pada bahagian kabinnya, slot kuncinya juga direka baharu, manakala papan pemukanya dilatari dengan kekemasan kayuan yang nampak lebih stylish. Tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan juga tampil lebih premium dengan kekemasan metalik.
Bagi hiburan yang lebih optimum buat para penumpang, turut ditampilkan paparan bersaiz 9-inci pada bahagian belakang, juga dengan tempat duduk balutan kulit, penghawa dingin kawalan automatik, penghawa dingin bahagian belakang, corong udara buat penumpang di barisan kedua dan ketiga. Pajero ini mampu memuatkan kapasiti tujuh penumpang dalam satu masa dan turut memberikan ruang yang lebih selesa.
Dijanakan oleh enjin 3.8 liter enam-silinder V6 yang mampu memberikan kuasa maksimum 250 PS dan tork 329 Nm, Pajero 2015 ini juga dilengkapi dengan teknologi MIVEC yang membantu memberikan prestasi lebih optimum dan cekap. Ia juga dipadankan dengan transmisi automatik INVECS-II lima-kelajuan dengan Mod Sport yang turut menggabungkan kawalan automatik dan manual jika diperlukan.
Pajero 2015 ini turut dilengkapi dengan sistem Mitsubishi Super Select 4WD bagi memberikan kuasa cengkaman yang lebih padu dengan mod pemilihan empat-pemanduan bergantung pada keadaan jalan. Selain itu, ia juga dilengkapi dengan Mitsubishi Active Stability and Traction Control (M-ASTC) yang mampu berfungsi secara automatik untuk melaraskan kuasa enjin dan brek bagi menstabilkan kenderaan jika berhadapan dengan keadaan yang menyulitkan.
Diimport dari Jepun, Pajero 2015 ini ditawarkan pada harga atas jalan RM291,177.50 (tanpa insurans). Pembeliannya turut didatangkan dengan waranti selama tiga tahun atau 100,000km (mana yang tiba terlebih dahulu). Ia turut didatangkan dengan tiga pilihan warna iaitu Warm White Mica, Eiger Grey Metallic dan Cool Silver Metallic.