MINI hanya akan kekalkan 5 model “superhero” bagi pasaran global?
Menurut laporan Bloomberg, Ahli Lembaga Pengarah BMW, Peter Schwarzenbauer, telah mendedahkan, MINI akan mengurangkan barisan modelnya dengan hanya mengekalkan lima model yang dianggap sebagai “superhero” bagi pasaran global.
Bercakap dalam satu acara yang berlangsung di Jerman, Schwarzenbauer berkata, setiap satu daripada model “superhero” berkenaan memiliki personaliti dan keunikan keupayaan yang tersendiri. Walau pun tidak menyebut secara tepat, model mana yang bakal dikekalkan dalam barisan “superhero” terbabit, difahamkan, ia melibatkan model Cooper tiga-pintu, Cooper lima-pintu, Cooper convertible, Countryman dan Clubman.
Dalam masa yang sama, Schwarzenbauer turut mengesahkan MINI bakal mengeluarkan kenderaan elektrik (EV) tidak lama lagi.
Baru-baru ini, Pengurus Perancangan Produk MINI (USA), Patrick McKenna telah mengesahkan model Coupe dan Roadster akan dihentikan pengeluarannya mulai tahun hadapan. Terdapat juga laporan yang menyebut, model Paceman juga bakal menuruti jejak langkah yang sama, manakala model Countryman pula akan diberi rekaan semula.