Johor anjur Kempen Hari Tanpa Kenderaan – Bakal berlangsung selama 3 jam sebulan
Datuk Bandar Johor Bahru, Abdul Rahman Mohamed Dewam, telah mengumumkan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan menganjurkan Kempen Hari Tanpa Kenderaan di bandar berkenaan, menurut laporan The Star.
Kempen Hari Tanpa Kenderaan tersebut hanya melibatkan satu hari dalam sebulan iaitu berlangsung selama tiga jam bermula 8 hingga 11 pagi, di mana ada jalan-jalan di sekitar bandar Johor Bahru akan ditutup bagi menjayakan aktiviti sihat ini.
Abdul Rahman berkata, aktiviti yang akan dianjurkan pada hari tersebut termasuklah berbasikal, berlari, bola sepak jalanan, senamrobik dan juga bola jaring. Walau bagaimana pun, hari yang dimaksudkan itu termasuk jalan-jalan yang terbabit masih belum diumumkan.
“Ini merupakan penganjuran buat pertama kali seumpamanya di sekitar bandaraya. Di mana kempen ini adalah salah satu cara terbaik bagi mendidik orang ramai betapa pentingnya menjaga persekitaran dan bandar. Malah kekerapan kempen sebegini juga akan diputuskan jika diperlukan.”
“Untuk permulaan, jalan-jalan yang terbabit akan ditutup antara jam 8 hingga 11 pagi dan perkara ini akan diumumkan selanjutnya kelak,”ujarnya.