Hyundai Sonata baharu tampil dengan inspirasi penuh keyakinan – Harga bermula RM138,888
Selepas pelancaran perdana Sonata yang baharu oleh Hyundai Motor Company di Korea pada awal tahun ini, sedan global segmen D yang menerajui kelasnya ini tiba di Malaysia dengan majlis pelancarannya berlangsung di Grand Hyatt Kuala Lumpur pagi ini.
Mengambil masa selama tiga tahun untuk dihasilkan, generasi ketujuh Sonata ini merupakan pencapaian falsafah estetik (Inner Force), bahasa rekaan yang berevolusi (Fluidic Sculpture 2.0) dan teknologi Human-Machine Interface iaitu falsafah pengalaman pengguna Hyundai yang memberi penekanan kepada penghasilan ruang pemandu yang lebih selamat, ringkas dan intuitif.
Bagi pasaran Malaysia, Sonata baharu ini ditawarkan dengan tiga varian iaitu Elegance B, Elegance dan Executive.
“Para jurutera dan pereka Hyundai Motors telah berfikir secara mendalam untuk menghasilkan Sonata ini iaitu daripada membuat penalaan bagi setiap bunyi yang dihasilkan oleh kereta ini untuk memadankannya dengan frekuensi yang paling menyenangkan bagi halwa pendengaran dan meminda roda stereng sebanyak 1 cm untuk memaksimakan pengalaman pemanduan,” ujar Lau Yit Mun, Pengarah Urusan Hyundai-Sime Darby Motors Sdn. Bhd.
Tambahnya lagi, ini seiring dengan matlamat Hyundai untuk menawarkan pengalaman Premium Moden kepada para pelanggan, termasuk nilai-nilai yang melebihi aspek-aspek seperti harga atau kos.
Rekaan Sonata yang terkini mendapat manfaat daripada penelitian bahasa rekaan Fluidic Sculture kepada 2.0 dengan memberikan penampilan estetik yang lebih menarik dan sentuhan premium.
Bagi imej dalamannya, sentuhan elegan menampakkan model ini lebih kemas dan bergaya. Gril radiatornya nampak sedikit lebar dan bersifat tiga dimensi, diitampilkan bersama lampu utama Bi-Xenon HID (lampu utama projektor bagi varian Elegance B dan Elegance) dan lampu pencahayaan siang.
Manakala bahagian belakangnya pula, lampu kombinasi, lampu kabus LED dan muffler yang tampak lebih agresif menambahkan lagi gaya.
Bertambah menarik dengan pemilihan rim aloi multi-spoke bersaiz 18 inci yang bukan sekadar tampil bergaya tetapi juga penting di dalam fungsi NVH bagi penyerapan bunyi dan getaran yang lebih optimum.
Selain itu, elemen luaran lain yang turut ditampilkan ialah pemegang pintu yang turut disertakan dengan welcome light, bilah pengilap cermin hadapan aero berserta pengesan hujan automatik.
Bahagian but kini dilengkapi dengan sistem Smart Trunk iaitu hanya berdiri berhampiran but dengan kunci pintar selama tiga saat dan penutupnya akan terbuka secara automatik.
Manakala rekaan di dalam kabin, susun atur dalaman direka semula menjadi bentuk T melintang untuk memberikan kesan visual yang lebih luas dan kemas. Gugusan instrumen juga diringkaskan dengan meletakkan isyarat-isyarat paparan dengan fungsi yang hampir sama secara berdekatan.
Bukan itu sahaja, ia turut menampilkan zon berkembar penghawa dingin, kunci pintar bersama butang penghidup enjin dan corong penghawa dingin di tempat duduk belakang.
Roda sterengnya juga mempunyai bentuk roda yang paling ideal, direka dengan teliti untuk memberikan keselesaan maksimum bagi setiap gaya pemanduan. Butang-butang kawalan direka supaya mudah dicapai dengan ibu jari tanpa perlu melepaskan tangan daripada roda stereng.
Bantalan sokongan lumbar menyokong belakang badan sangat sesuai untuk pemanduan jarak jauh. Para jurutera Hyundai juga mencipta Silent Door Sound, dengan menala bunyi pembukaan dan penutupan semua pintu dan tingkap.
Elemen tambahan bagi varian Elegance dan Executive iaitu turut dipadankan dengan bumbung matahari (hanya untuk Executive), Electronic Chromic Mirror (ECM), kamera undur, meter kluster Supervision dan perakam keselamatan pemanduan.
Bukan itu sahaja, kedua-dua varian tersebut juga memiliki hab hiburan Audio Visual Navigator” (AVN) pertama dalam kelasnya dikuasakan dengan sistem operasi Android 4.4.2 yang boleh diakses melalui panel paparan skrin sentuh yang dipasang pada Sonata yang baru ini.
Model baru ini adalah 35 milimeter lebih panjang bagi memberikan lebih ruang kaki untuk penumpang belakang dan 30 milimeter lebih lebar berbanding generasi Sonata sebelumnya. Ini termasuklah ruang simpanan yang lebih besar iaitu merangkumi 462 liter.
Sonata baharu ini dijanakan oleh enjin Nu 2.0 MPi yang mampu memberikan kuasa sehingga 154 PS pada 6,200 rpm dan tork tertinggi 194 Nm pada 4,000 rpm. Ia turut dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan. Malah Sonata baharu ini turut ditampilkan dengan Kawalan Kelajuan Automatik dan Sistem Kawalan Mod Pemanduan bagi prestasi dan pengendalian yang lebih menyakinkan.
Pembikinan Sonata ini turut menitik berat beberapa perkara termasuklah penyokong bawah kereta yang mempunyai rekaan terkini bagi menyumbang pada peningkatan prestasi suspensi dan ketegaran struktur yang lebih baik berbanding model generasi sebelumnya, menghasilkan kekuatan torsi sebanyak 41% dan kekuatan lenturan sebanyak 35% berbanding model yang lain.
Malah 51% daripada kerangka Sonata yang baharu ini diperbuat daripada Advanced High Strength Steel (AHSS) yang dua kali lebih kuat daripada plat keluli biasa.
Bukan itu sahaja, suspensinya juga dipertingkatkan di mana bahagian hadapan mendapat menfaat daripada peningkatan tindak balas, sudut dan kestabilan stereng sementara bahagian belakangnya mendapat manfaat peningkatan kestabilan ketika memandu dan membelok pada kelajuan tinggi.
Rekaan bahagian enjin meningkatkan prestasi aerodinamik, dengan bahagian bawah rata khas yang biasanya hanya boleh didapati dalam kereta prestasi sukan. Hasilnya, Sonata yang terkini mampu mencapai koefisien aerodinamik sebanyak cd 0.27, iaitu yang tertinggi di dalam kategori segmen D.
Menekankan kepentingan bagi aspek keselamatan, Sonata baharu ini turut dilengkapi dengan ABS, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Hillstart Assist Control (HAC) dan enam beg udara buat varian Elegance dan Executive (hanya dua untuk varian Elegance B).
Sonata menawarkan enam warna pilihan iaitu Ice White, Platinum Silver, Polished Metal, Remington Red, Dark Horse dan Phantom Black.
Hyundai Sonata yang diimport dari Korea Selatan (model CBU) ini boleh didapati bermula 15 Disember di bilik pameran Hyundai di seluruh negara bermula pada harga atas jalan (termasuk cukai jalan dan premium insurans) RM143,163.30 bagi Elegance B, RM149,845.30 untuk Elegance dan varian Executive pula RM158,053.30.
Bukan itu sahaja, pemilik pertama akan mendapat manfaat daripada program jaminan lapan tahun/300,000km. Jaminan pengeluar pula akan melindungi untuk lima tahun pertama manakala penjana kuasa (powertrain – bagi enjin dan kotak gear) akan mendapat perlindungan tambahan selama tiga tahun selepas itu.
Pembeli juga akan diberikan keahlian percuma selama tiga tahun untuk The Leader, khidmat concierge khas untuk pemilik model-model premium Hyundai. Ahli-ahli The Leader boleh menikmati kelebihan VIP seperti akses ke Plaza Premium Lounge di lapangan terbang terpilih di Malaysia dan khidmat pemandu percuma untuk pergi ke atau pulang daripada KLIA, LCCT atau Subang Skypark.
1 Comment